Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan mengadakan mesyuarat dengan 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan di Ibu Pejabat UMNO, malam ini.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mesyuarat itu bagi menyelaras usaha menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi Negeri Sembilan ketika ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun menegaskan bahawa perjumpaan itu bukan bertujuan untuk campur tangan.

“Sebaliknya, mahu mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi di Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-18 Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kemelut itu, Ahmad Zahid berkata, 25 ADUN BN dan Perikatan Nasional (PN) sudah diberikan mandat untuk membentuk kerajaan di negeri itu.

Sehubungan itu, tegasnya, penyelesaian perlu dibuat di peringkat negeri berdasarkan adat dan peraturan yang sedia ada.

“Saya memberikan mandat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk mencari penyelesaian terbaik dengan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selain menghadap Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, Datuk Shahbandar dan hierarki adat lain di Negeri Sembilan bagi menyelesaikan masalah ini secara baik.

“Yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan. Masalah mereka perlu ditangani dan rakyat mesti disatukan.

“Apa yang sedang dan sudah berlaku, kita perlu mencari jalan penyelesaian yang baik di peringkat negeri dan tentunya kita tidak mahu keadaan menjadi semakin keruh sehingga rakyat menjadi mangsa kepada situasi ini,” katanya.

Mengulas berhubung cadangan supaya Majlis Raja-Raja campur tangan dalam kemelut Negeri Sembilan selain pengisytiharan darurat, Ahmad Zahid berkata, mereka harus menghormati institusi raja dan adat di negeri itu.

“Saya serahkan perkara itu kepada pihak Majlis Raja-Raja kerana tentunya persoalan Negeri Sembilan berbeza dengan negeri-negeri lain.

“Bagi pilihan pengisytiharan darurat, saya tidak fikir kita perlu menuju ke arah itu. Tidak ada sebarang kekecohan daripada segi keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Sembilan.

“Jadi, tidak perlu perkara itu difikirkan walaupun kita turut mendengar saranan berkenaan. Tentunya ada pilihan yang lebih baik selain mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Majlis Darurat di Negeri Sembilan,” katanya.-BH Online