MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan agar sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA dijadikan pusat latihan e-sukan bagi melatih anak muda untuk industri itu.
Beliau berkata, langkah itu bagi mengukuhkan industri berkenaan, sekali gus melahirkan lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa, selain mewujudkan ekosistem kandungan e-sukan tempatan.
“Saya sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara berhasrat menjadikan e-sukan ini sebagai satu industri, perusahaan, bidang ilmu dan bidang pendidikan.
“Untuk itu, saya sudah berbincang dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam usaha membuka peluang kepada anak muda di seluruh negara untuk mendalami bidang berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan program e-sukan di Duyong, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kursus e-sukan yang dirancang pada peringkat sijil itu akan diperluaskan ke peringkat diploma, dengan peluang untuk peserta melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah dalam bidang berkenaan.
“Insya-Allah, kursus bukan hanya sekadar tahap persijilan tetapi kita akan tingkatkan kepada diploma, dan Universiti Kuala Lumpur bersedia menjadi lokasi untuk melanjutkan pelajaran supaya mereka dapat ijazah dalam bidang ini.
“Ini supaya hobi e-sukan turut menjana pendapatan kepada anak-anak muda,” katanya.
Menyentuh pencapaian pemain negara pula, Ahmad Zahid berharap lebih ramai peserta Malaysia dapat menjuarai kejohanan antarabangsa, menyusuli kejayaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang membawa pulang hadiah bernilai AS$1 juta.
Pada Julai 2024, SRG melakar sejarah sebagai pasukan Malaysia yang pertama menjuarai Mid Season Cup bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang selepas menewaskan wakil Filipina, Falcons AP.Bren, 4-3 pada perlawanan akhir di Riyadh, Arab Saudi. -BH Online
