KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan bateri kenderaan elektrik (EV) yang sudah ditamatkan penggunaannya, supaya dimanfaatkan semula sebagai sistem penyimpanan tenaga bagi membekalkan elektrik kepada penduduk luar bandar, penempatan masyarakat Orang Asli, serta kemudahan kesihatan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata langkah itu sekali gus memastikan manfaat ekonomi kitaran turut dinikmati komuniti yang kurang mendapat akses kepada kemudahan berkenaan.
Katanya, cadangan dikenali sebagai ‘Dividen Ekuiti Kitaran’ itu ialah antara tiga penyelesaian dikemukakan Malaysia bagi mempercepatkan pelaksanaan ekonomi kitaran di kawasan bandar pada peringkat global serta memacu agenda sifar sisa.
Ketika menyampaikan ucaptama pada sesi TED Talk Pavilion Malaysia bertema ‘Closing the Loop: Malaysia’s Journey Towards Zero Waste’ sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-31 (COP31) di Antalya, Turkiye, beliau berkata, inisiatif itu bermatlamat memastikan manfaat ekonomi kitaran diagihkan secara lebih saksama serta inklusif, khususnya kepada komuniti yang kurang mendapat akses kepada kemudahan dan perkhidmatan asas.
“Blueprint Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal di Malaysia 2025–2035 menetapkan sasaran nasional untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus dan pengalihan 53 peratus jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan menjelang 2035, menerusi sokongan inisiatif seperti Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR), Pengasingan Sisa di Punca (SAS), serta projek perintis Daerah Sifar Sisa di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Pada 2024, Malaysia menjana 14.5 juta tan metrik sisa pepejal perbandaran, dengan sisa makanan merangkumi 44.5 peratus, manakala plastik 13.2 peratus, selain lebih RM2 bilion dibelanjakan setiap tahun bagi pengurusan sisa,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kor Ming berkata, dua lagi cadangan berkenaan memfokus kepada usaha menjadikan bandar sebagai ‘Bank Bahan’ menerusi pelaksanaan Pasport Bahan Digital secara mandatori, yang membolehkan komposisi, kitar hayat dan potensi penggunaan semula bahan dalam produk industri serta infrastruktur dijejaki.
Beliau berkata, sistem itu membolehkan sumber bernilai seperti litium dan tembaga, diperoleh semula untuk digunakan semula berbanding dibuang begitu saja.
Cadangan kedua membabitkan penggantian sistem bayaran fi pelupusan sisa di tapak pelupusan konvensional dengan Geran Kitaran Berasaskan Prestasi dan Bon Peralihan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Menerusi pendekatan ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menerima insentif kewangan berdasarkan pencapaian alam sekitar yang boleh diukur, termasuk kadar kitar semula, pengurangan sisa ke tapak pelupusan, dan pengurangan pelepasan metana,” katanya.
Berdasarkan pengalaman Malaysia melaksanakan ‘Sistem Lampu Isyarat’ di kesemua 156 PBT, katanya, pembiayaan berasaskan prestasi mampu menggalakkan majlis tempatan melabur dalam kemudahan kitar semula, sistem biodigester teragih, pengkomposan, serta penyelesaian pengurusan sisa mampan lain.
Beliau yang juga Presiden Perhimpunan UN-Habitat dijadualkan menyertai dua sesi perbincangan panel, iaitu ‘Future Fit Cities: Nature, Resilience and Innovation: Shaping the Cities of Tomorrow’ serta ‘Zero Waste: From Waste to Watts: Steps to Scale Zero Waste for Climate-Resilient Cities and Energy Security’.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari luar negara dan rakan strategik bagi memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan bandar mampan serta ekonomi kitaran.
COP31 yang berlangsung dari 9 hingga 20 November ini menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, pegawai kanan kerajaan, organisasi antara kerajaan dan pelbagai hala, kumpulan masyarakat sivil, pengamal penyesuaian iklim serta tokoh belia bagi memperkukuhkan kerjasama global dalam tindakan menangani perubahan iklim.-BH Online
