DOHA: Malaysia menggesa aspek daya tahan telekomunikasi di lokasi ekonomi kritikal seperti pelabuhan, rangkaian kereta api, lebuh raya serta hab perindustrian, diberikan perhatian serius.
Malah, Malaysia memberi amaran bahawa sebarang gangguan yang berlaku boleh membawa kesan meluas terhadap rantaian bekalan global dan aktiviti ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata ketersambungan rangkaian yang boleh dipercayai di lokasi berkenaan, semakin penting.null
Katanya, ini kerana infrastruktur digital kini berdepan ancaman semakin meningkat, termasuk cuaca ekstrem, serangan siber, gangguan bekalan elektrik dan kerosakan kabel dasar laut.
Sebagai contoh, beliau berkata, gangguan telekomunikasi di pelabuhan utama boleh menjejaskan operasi pengendalian kargo, mengganggu rantaian bekalan, serta mencetuskan kesan ekonomi yang melangkaui sempadan negara.
“Dalam dunia yang saling berkait hari ini, daya tahan telekomunikasi bukan sekadar memastikan rangkaian terus beroperasi.
“Sebaliknya, ia turut membabitkan usaha memastikan perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi dapat diteruskan walaupun ketika berdepan gangguan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perbincangan Tematik Peringkat Tinggi mengenai Daya Tahan pada Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26), di sini, hari ini.
Fahmi berkata, Malaysia sedang meneroka pendekatan lebih luas terhadap ketersambungan digital, dengan melengkapkan rangka kerja sedia ada Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) melalui konsep Coverage of Economic Areas (CoEA) yang dicadangkan.
Pendekatan itu akan memberi penekanan lebih besar kepada lokasi strategik dari segi ekonomi yang mungkin mempunyai jumlah penduduk agak kecil tetapi amat bergantung pada perkhidmatan telekomunikasi tanpa gangguan.
“Daripada cuaca ekstrem dan serangan siber hinggalah kepada gangguan bekalan elektrik serta kerosakan kabel dasar laut, risiko yang dihadapi oleh infrastruktur digital kita kini semakin kompleks.
“Bagi Malaysia, keadaan ini menimbulkan satu persoalan penting: Adakah kita memberikan perhatian yang secukupnya terhadap aspek daya tahan ketersambungan di kawasan yang kritikal kepada ekonomi negara?” katanya.
Fahmi berkata, Malaysia mencadangkan agar ITU mempertimbangkan langkah meneroka konsep CoEA bersama negara anggota lain sebagai pendekatan pelengkap bagi menilai tahap ketersambungan dan menyokong pembangunan digital yang lebih inklusif serta mampan.
Bagaimanapun, katanya, usaha memperluas liputan telekomunikasi saja tidak memadai jika rangkaiannya tidak dapat dipastikan mampu bertahan ketika berdepan gangguan dan pulih dengan pantas.
Beliau berkata, infrastruktur digital kritikal perlu disokong oleh lewahan mencukupi, laluan ketersambungan alternatif, bekalan kuasa sandaran, dan keupayaan pemulihan perkhidmatan yang pantas.
Teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI) dan komunikasi satelit, juga berpotensi memperkukuhkan pemantauan rangkaian, kesiapsiagaan mendepani bencana, serta kesinambungan perkhidmatan.
Beliau berkata, kerjasama antarabangsa juga amat penting memandangkan infrastruktur digital saling berkait, manakala gangguan telekomunikasi berpotensi memberi kesan merentasi sempadan negara.
Katanya, ITU boleh memainkan peranan penting dalam membantu negara anggota memperkukuh daya tahan rangkaian melalui penetapan piawaian teknikal bersama, pembangunan kapasiti dan perkongsian amalan terbaik.
“Pada akhirnya, daya tahan bukan sekadar melindungi rangkaian kita tetapi juga melindungi komuniti, perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi yang bergantung padanya,” katanya.
Fahmi turut mengulangi komitmen Malaysia untuk menjalinkan kerjasama rapat dengan ITU dan negara anggota lain ke arah membina masa depan digital yang lebih selamat, boleh dipercayai serta berdaya tahan. -BH Online
