KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kematian seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah sukan dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.
Menerusi kenyataan di Facebook, Fadhlina berkata, siasatan kes itu berada di bawah bidang kuasa polis dan semua pihak perlu menghormati proses berkenaan.
“Beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Kita semua mahukan perkara yang sama. Kebenaran dan keadilan,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua sekolah terbabit meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu, dipercayai akibat dibuli.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengarahkan Jemaah Nazir menjalankan audit segera terhadap sekolah berkenaan bagi meneliti aspek keselamatan dan pematuhan tatacara, selain memastikan tiada sebarang ketidakpatuhan terlepas daripada perhatian.
Selain itu, KPM juga memberikan kerjasama penuh kepada PDRM yang sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, termasuk selepas seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan.-BH Online

