Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor disaran agar memberi tumpuan membantu mangsa banjir yang melanda Kedah daripada sibuk menjaga ‘dalam kain’ negeri lain.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sewajarnya Menteri Besar Kedah itu berada di negerinya sendiri daripada sibuk menghasut pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membenci Kerajaan Perpaduan.

“Saya mendoakan seramai 1452 mangsa banjir di Kedah yang terdiri daripada 400 lebih keluarga agar dapat ditangani oleh Menteri Besar Kedah.

“Saya yakin beliau (Sanusi) dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mangsa-mangsa banjir ini dan janganlah sibuk di kawasan orang lain. Jagalah rakyatnya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai merasmikan Karnival Kerjaya My Future Jobs di Felda Chemomoi, dekat Bentong, hari ini.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berharap pengundi di Pelangai tidak termakan dengan hasutan yang dilemparkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu dengan menterjemahkan undi mereka bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai 7 Oktober ini.

“Saya mengharapkan isu-isu yang dibawa beliau (Sanusi) tidak terlekat di minda dan di hati pengundi-pengundi di Pelangai walaupun saya tahu beliau menggunakan apa sahaja, cuba dimainkan dan dikotorkan minda mereka untuk membenci kepimpinan kerajaan di Putrajaya dan di Kuantan.

“Saya harap rakyat di Pelangai ini bijak sama seperti rakyat di Pulai dan Simpang Jeram yang telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih seorang wakil rakyat yang membolehkan kesinambungan perkhidmatan.

“Saya juga menyeru rakyat dapat menolak calon pembangkang yang tidak dapat memberikan perkhidmatan yang selari dengan kerajaan negeri dan pusat,” katanya.

Calon BN Datuk Amizar Abu Adam berhadapan saingan tiga penjuru di PRK Pelangai.

Beliau akan ditentang calon PN Kassim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli. -Media Perpaduan