SEREMBAN: Pembinaan jalan baharu menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan Bandar Enstek di Nilai, dekat sini, dapat memperkukuh dan melengkapkan prasarana pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim, berkata kerajaan negeri menyambut baik projek berkenaan kerana kemudahan laluan itu mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan kawasan berkenaan.
Katanya, laluan baharu itu juga kelak dapat menarik lebih ramai pelabur ke Negeri Sembilan.
“Rancangan Kerajaan Pusat untuk membina jalan baharu menghubungkan antara KLIA-Enstek sesuatu yang bermakna bagi kerajaan negeri kerana pembinaan itu nanti bakal menjadi pelengkap kepada pembangunan MVV.
“Kita harap lebih ramai pelabur akan datang dengan adanya kemudahan laluan baharu ini nanti,” katanya selepas merasmikan Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) Negeri Sembilan 2026, petang tadi.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan beberapa projek infrastruktur di Negeri Sembilan, termasuk pembinaan jalan baharu dari KLIA ke Bandar Enstek dan naik taraf Jalan Pajam-Nilai-Salak bagi menyokong pembangunan MVV 2.0.
Ismail juga menyambut baik pengumuman kerajaan membina Kompleks Kesihatan Bersepadu di Rembau yang diyakini dapat menambah kemudahan kesihatan, sekali gus membantu menangani masalah kekurangan katil di beberapa hospital di negeri ini.
“Ini sesuatu yang baik untuk Negeri Sembilan kerana ia dapat menambah lagi fasiliti kesihatan untuk kepentingan rakyat negeri ini dan kita tahu hospital-hospital kita sekarang kekurangan katil.
“Dengan adanya projek baharu ini nanti, kita percaya ia dapat menampung kemudahan kesihatan untuk rakyat. Kita ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan membantu memudah cara pelaksanaan setiap projek berkenaan. -BH Online
