Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memastikan inisiatif Belanjawan 2027 dilaksanakan, khususnya bagi menangani kos sara hidup dan memperkukuhkan perlindungan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata KPDN menyambut baik peruntukan serta inisiatif diumumkan dalam belanjawan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Rakyat, hari ini.

“KPDN menyambut baik peruntukan dan inisiatif bagi memperkukuhkan usaha menangani kos sara hidup, membendung ketirisan melalui penguatkuasaan lebih berkesan, serta memperkasakan perlindungan pengguna,” katanya dalam hantaran melalui Facebook.

Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2027, Anwar yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM750 juta bagi melaksanakan 35,000 siri Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI di seluruh negara pada tahun depan.

Beliau berkata, Program Jualan Rahmah MADANI akan diperluaskan ke kawasan desa, perumahan kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain membantu peniaga kecil, manakala RM1.1 bilion pula diperuntukkan bagi memperkukuh keupayaan operasi agensi penguatkuasaan.

Dalam pada itu, potongan cukai akan diberikan kepada penderma makanan dan peralatan kepada Ihsan Food Bank (i-FB) dari 2027 hingga 2030.

Kerajaan juga memperuntukkan RM250 juta bagi memperluaskan pengedaran barangan asas ke kawasan pedalaman termasuk enam lokasi baharu, dan RM10 juta bagi meneruskan inisiatif Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA) bagi memasarkan produk desa serta perkhidmatan bernilai tinggi ke pasaran digital dan antarabangsa.

Sementara itu di TERENGGANU, peniaga di negeri itu diingatkan supaya tidak menaikkan harga barangan keperluan secara tidak munasabah susulan pengumuman inisiatif meringankan kos sara hidup dalam Belanjawan 2027.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga secara melampau, dengan pemantauan dijalankan oleh anggota penguat kuasa di setiap daerah.

“KPDN berharap tiada peniaga di Terengganu mengambil kesempatan sedemikian, lebih-lebih lagi selepas pelancaran inisiatif Pasar Patuh yang menggalakkan peniaga mematuhi harga dan ketetapan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jelajah Kasih Kembara Pengguna Bersama Komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Pergam, Chukai, hari ini.

Pada program itu, 175 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli Semaq Bari menerima sumbangan barangan keperluan asas i-FB bernilai RM8,750.-BH Online