Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua badan penguatkuasaan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap isu penyeludupan dadah, termasuk kes ketirisan didakwa membabitkan penggunaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perdana Menteri menegaskan penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan oleh pihak tidak bertanggungjawab satu pengkhianatan serta ancaman besar kepada keselamatan negara, apatah lagi melibatkan benteng pertahanan negara.

​”Mana mungkin kita izinkan benteng pertahanan kita bocor dan dipergunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

“Ini khianat kepada negara dan bahayanya besar,” katanya dalam kenyataan berhubung isu keselamatan sempadan, penyeludupan dadah dan ketirisan dalam agensi berkaitan.

Menurut Perdana Menteri, isu penyeludupan dadah menerusi pesawat TUDM bukanlah perkara baharu dan mendapat perhatian serius menerusi perbincangan serta kepastian daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, supaya ia dipantau secara rapi. -BH Online