ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor menegaskan tidak akan sesekali mengorbankan kesejahteraan rakyat semata-mata demi menarik pelaburan pusat data ke negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pendirian negeri amat jelas bahawa pelaburan tidak boleh diterima tanpa kawalan, selain keselamatan bekalan air, kecukupan tenaga dan kelestarian alam sekitar tidak boleh dikompromi.
Beliau turut membidas dakwaan serta tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan fitnah kononnya pembangunan pusat data menjadi punca krisis bekalan air kepada rakyat Johor.
“Saya ingin memperbetulkan dakwaan dan tohmahan yang ditularkan kononnya pembangunan pusat data menjadi punca yang bakal menjejaskan bekalan air kepada rakyat Johor. Ini adalah satu hasutan, fitnah yang tidak bertanggungjawab.
“Kepada Bangsa Johor yang saya kasihi sekalian, jangan kita mudah terpengaruh dengan tohmahan, khabar angin atau persepsi yang sengaja dibentuk tanpa penelitian. Sebaliknya, setiap dakwaan hendaklah dinilai berdasarkan fakta, data dan penjelasan daripada pihak yang berkenaan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Johor 2027 di DUN Johor, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, Johor telah menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) seawal April 2024, setahun lebih awal daripada penubuhan Data Centre Task Force (DCTF) di peringkat Persekutuan.
“Jawatankuasa ini amat teliti dalam membuat penilaian terhadap keperluan air, elektrik, teknologi hijau dan kapasiti infrastruktur bersama agensi teknikal seperti Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), Ranhill SAJ, Johor Special Water (JSW) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Pelaburan tidak boleh diterima tanpa kawalan. Keselamatan bekalan air, kecukupan tenaga dan kelestarian alam sekitar adalah perkara yang langsung tidak boleh dikompromi,” tegasnya.
Beliau berkata, setakat ini, 19 pusat data yang sudah mula beroperasi di Johor dengan kelulusan bekalan air terawat sebanyak 21 juta liter sehari (JLH) berbanding permohonan asal sebanyak 73 JLH.
“Sebagai perbandingan, purata pengeluaran air terawat negeri ialah 2,034 juta liter sehari. Jumlah bekalan yang diluluskan kepada pusat data tersebut bersamaan kira-kira 1.05 peratus sahaja daripada pengeluaran air terawat negeri,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air awam, pusat data digalakkan menggunakan teknologi ‘air cooling’ dan sumber air alternatif.
“Antaranya, syarikat Bridge Data Centres dan Computility memanfaatkan air kumbahan terawat, manakala DayOne menggunakan sumber air Sungai Tebrau menerusi loji rawatan air yang dibina sendiri di Kempas Tech Park,” katanya.-BH Online
