KUALA LUMPUR: Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 menetapkan 10 bidang fokus strategik bagi memperkukuh keupayaan Malaysia menangani landskap keselamatan semakin kompleks, termasuk ancaman tradisional dan bukan tradisional.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin, berkata dasar itu menjadi rujukan utama dalam menentukan hala tuju dan keutamaan keselamatan negara.
Beliau berkata, dasar berkenaan menggariskan pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan kepentingan, kedaulatan serta keselamatan negara terus dilindungi.
“Penggubalan DKN mengambil kira perubahan landskap keselamatan semasa. Keselamatan negara merangkumi pelbagai dimensi yang saling berkait, termasuk politik, ekonomi, sosial, alam sekitar, ketenteraman awam serta keselamatan siber dan teknologi.
“Justeru, DKN dirangka bagi memperkukuh konsep keselamatan menyeluruh yang memerlukan penyelarasan dan kerjasama merentasi kementerian, agensi serta semua lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dasar itu, di sini hari ini.
Raja Nurshirwan berkata, dasar baharu itu turut ditambah baik daripada segi penyusunan isu dan cabaran serta fokus strateginya.
Beliau berkata, berbanding dasar terdahulu yang berasaskan sembilan nilai teras keselamatan negara, DKN 2026-2030 kini berpandukan 10 bidang fokus strategik.
Katanya, sebanyak 66 isu, cabaran dan ancaman dalam dasar terdahulu disusun semula kepada 53, iaitu pengurangan 13.
“Ia bagi memastikan kita memberi tumpuan terhadap isu, cabaran dan ancaman berkenaan dengan lebih terperinci serta sistematik.
“Jumlah pernyataan strategi turut dikemas kini daripada 40 kepada 30 strategi yang lebih berfokus.
“Penambahbaikan bertujuan memastikan keutamaan keselamatan negara dikenal pasti dengan lebih jelas, mengurangkan pertindihan serta memudahkan penyelarasan dan pemantauan oleh kementerian dan agensi peneraju,’ katanya.
Raja Nurshirwan berkata, semua bidang fokus itu dikenal pasti berdasarkan penilaian trend, cabaran dan ancaman, selain keperluan pembangunan negara serta keupayaan strategik negara.
Beliau berkata, setiap bidang turut mengambil kira hubungan antara satu dimensi keselamatan dengan dimensi yang lain.
Katanya, 10 bidang berkenaan diterjemahkan kepada 30 strategi bersepadu yang menjadi panduan kepada kementerian dan agensi peneraju dalam merancang serta melaksanakan tindakan mengikut bidang tanggungjawab masing-masing.
“Bagi memastikan dasar dipantau dan diselaraskan dengan berkesan, beberapa mekanisme turut digariskan termasuk Sistem DKN, Indeks Keselamatan Negara (IKK), latihan dan simulasi keselamatan, operasi bersepadu serta arahan pelaksanaan.
“IKK adalah instrumen penting untuk mengukur tahap keselamatan negara dan menilai keberkesanan pelaksanaan dasar merentasi pelbagai sektor menggunakan pendekatan berasaskan data.
“Dapatan menerusi indikator yang ditetapkan dapat membantu kerajaan mengenal pasti kelemahan dan risiko keselamatan sebelum merancang tindakan sewajarnya,”katanya.
Raja Nurshirwan berkata, MKN melaksanakan pelbagai inisiatif strategik tahun ini bagi memperkukuh agensi keselamatan negara, termasuk Bulan Keselamatan Negara Julai lalu yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSS) 2026.
Beliau berkata, sidang kemuncak itu menghimpunkan kerajaan, industri, masyarakat sivil, ahli akademik dan pakar keselamatan siber bagi memperkukuh kerjasama serta daya tahan siber negara.
Katanya, ia turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif termasuk Dasar Keselamatan Negara, Dasar Kriptografi Negara, Pelan Tindakan Kriptografi 2026-2030 dan Kerangka Keselamatan Siber Sistem Kecerdasan Buatan (AISCF).
“Selain itu, MKN turut melaksanakan Latihan Eagle Stealth 2026 di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari 10 hingga 13 November lalu dengan membabitkan 1,166 anggota dan pegawai,” katanya. -BH Online

