Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di seluruh negara di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mendapat liputan rangkaian 4G, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, jumlah itu bersamaan dengan kadar liputan kawasan berpenduduk sebanyak 99.5 peratus.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau dan memperkukuh penyediaan infrastruktur komunikasi bagi memastikan baki sekolah yang belum mendapat liputan turut diberikan perhatian ke arah mencapai kesalinghubungan digital yang menyeluruh.

“Dalam aspek pembahagian tanggungjawab, Kementerian Komunikasi dan KPM memainkan peranan yang saling melengkapi.

“Kementerian Komunikasi juga bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi berkelajuan tinggi, manakala urusan perolehan dan langganan perkhidmatan internet di sekolah diuruskan sepenuhnya oleh KPM.

“Kita hanya boleh menyediakan capaian internet sehingga ke pagar sekolah. Namun, penyediaan dan pengurusan capaian internet di dalam kawasan sekolah tertakluk kepada pihak sekolah dan KPM,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta menyatakan dasar kementerian bagi memastikan sekolah, khususnya di luar bandar menikmati capaian internet yang memenuhi MSQoS dan sama ada audit MSQoS akan diperluas kepada semua sekolah secara berkala.

Fahmi berkata, menerusi inisiatif ‘Point of Presence’ (PoP), pihaknya juga sudah menyediakan perkhidmatan internet pada kadar yang sangat berpatutan iaitu kelajuan 1,000 Mbps atau 1 Gbps dengan harga serendah RM49 sebulan.

“Namun, sama ada sesebuah sekolah memilih untuk melanggan perkhidmatan berkenaan atau tidak, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi untuk dijawab,” katanya. -BH Online