Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Hasil royalti perlombongan mineral dikutip kerajaan Pahang bagi tempoh 1 Januari hingga 24 November lalu meningkat kepada RM74.3 juta , berbanding RM63.4 juta tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata berdasarkan rekod, emas adalah penyumbang terbesar hasil royalti iaitu berjumlah RM48 juta.

Katanya, hasil royalti mineral lain ialah bijih besi yang berjumlah RM20.1 juta, bauksit (RM2.77 juta), silika (RM1.54 juta), bijih timah (RM1.29 juta), manganese (RM640,000), galena (RM14,700) dan kaolin (RM8,4000).

“Sebenarnya industri hiliran mineral antara sektor strategik yang diberi perhatian kerajaan negeri untuk meningkatkan nilai tambah sumber mineral dan memperkukuh sektor pembuatan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hasan Omar (PAS-Lanchang) yang ingin mendapatkan jumlah hasil melalui aktiviti perlombongan mineral pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Bagi memastikan peningkatan hasil, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri meluluskan cadangan pembangunan kilang pengeluaran aloi mangan (manganese) di Gebeng, di sini dengan nilai pelaburan kira-kira RM1 bilion.

“Cadangan yang diluluskan pada tahun ini dijangka mula beroperasi pada 2027 dan berpotensi menyokong rantaian bekalan industri besi dan keluli.

“Dalam industri emas pula, Pahang Gold Sdn Bhd, anak syarikat Pahang Mining Corporation sedang meneroka penghasilan jongkong emas dan barang kemas bagi meningkatkan nilai tambah sumber emas tempatan.

“Justeru, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan dan sektor swasta.

“Ia bagi menarik pelaburan dalam aktiviti pemprosesan serta pengilangan produk berasaskan mineral, termasuk memanfaatkan kemudahan infrastruktur dan kawasan perindustrian sedia ada seperti di Gebeng dan Kuantan,” katanya. -BH Online