Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Hanya 11 peratus bekas banduan di negara ini kembali ke penjara dalam tempoh tiga tahun, sekali gus menunjukkan keberkesanan program pemulihan dilaksanakan Jabatan Penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kadar pengulangan jenayah atau residivisme itu adalah pencapaian membanggakan berbanding beberapa negara lain merekodkan kadar sehingga 23 hingga 25 peratus.

Katanya, Malaysia menetapkan tempoh pengukuran residivisme selama tiga tahun selepas seseorang dibebaskan, berbeza dengan Singapura yang menggunakan tempoh dua tahun.

“Jika diukur berdasarkan tempoh dua tahun, kita sudah pun berada pada satu digit.

“Bagaimanapun, bukan itu yang kita maksudkan. Tumpuan kita adalah bagaimana mengekalkan keberkesanan modul pemulihan yang menyasarkan tiga aspek iaitu fizikal, spiritual dan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, biarpun berbangga dengan pencapaian itu, beliau mahu Jabatan Penjara terus menambah baik modul pemulihan bagi mengurangkan kadar residivisme sehingga satu digit.

Katanya, antara cabaran utama dikenal pasti ialah stigma dan penolakan masyarakat terhadap bekas banduan selepas mereka dibebaskan.

Beliau berkata, bekas banduan pernah terbabit dalam kesalahan dadah, misalnya, berdepan kesukaran mendapatkan penerimaan masyarakat sehingga keadaan itu boleh mendorong mereka kembali mengulangi kesalahan.

“Apabila mereka keluar, penerimaan masyarakat berbeza dan tidak bersedia menerima serta menyokong mereka. Keadaan di luar itu seolah-olah menjadi penjara kedua buat mereka.

“Itu antara faktor mendorong mereka kembali mengulangi kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya menghapuskan stigma dan prejudis terhadap bekas banduan yang sudah selesai menjalani hukuman serta memberi peluang kepada mereka membina kehidupan baharu.

Katanya, Jabatan Penjara turut menyediakan 13 rumah perantaraan bagi membantu bekas banduan yang berdepan masalah penolakan keluarga atau masyarakat selepas dibebaskan.

Beliau berkata, kemudahan itu membolehkan mereka mendapatkan tempat tinggal sementara selain meneruskan pekerjaan dan kehidupan selepas keluar dari penjara.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kira-kira 75 peratus penghuni penjara di negara ini terbabit dengan kesalahan berkaitan dadah, sekali gus menunjukkan keperluan untuk terus memperkukuh pendekatan pemulihan. -BH Online