Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TASEK GELUGOR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkukuh pengurusan sumber air empangan bagi memastikan bekalan pengairan ke kawasan sawah mencukupi sebagai persediaan menghadapi fenomena El Nino. 

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ketika ini pihaknya bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedang memantau paras air empangan secara berterusan serta menyimpan sebanyak mungkin bekalan air sepanjang musim tengkujuh.

Beliau berkata, pelepasan air empangan kini dikurangkan susulan hujan yang mampu memenuhi keperluan kawasan sawah. 

“Kita mahu meningkatkan paras simpanan air supaya sekiranya tidak berlaku hujan antara Disember hingga April depan, bekalan air masih mencukupi untuk kawasan sawah.

“Ini ikhtiar kita bagi menghadapi kemungkinan cuaca panas melampau akibat El Nino,” katanya pada sidang media selepas Program Kampung Angkat MADANI di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, di sini, hari ini. 

Mohamad berkata, kerajaan turut memantau keadaan Empangan Pedu di Kedah yang menjadi antara sumber utama bekalan air pengairan di kawasan MADA.

“Ketika ini, kerja penggantian injap empangan itu sedang dilaksanakan membabitkan peruntukan RM245 juta dan dijangka siap pada November tahun depan bagi memastikan keselamatan struktur serta kelangsungan bekalan air.

“Empangan ini sudah beroperasi sejak 1969 dan perlu diselenggara dengan baik kerana ia aset yang sangat penting kepada sektor penanaman padi,” katanya.

Jelasnya, kementerian juga bersedia melaksanakan operasi pembenihan awan sekiranya diperlukan, namun ia bergantung kepada keadaan cuaca dan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Mohamad berkata, semua agensi berkaitan termasuk MADA sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi memantau perkembangan cuaca serta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kekurangan bekalan air.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan semasa, hasil pengeluaran padi di kawasan MADA masih menunjukkan peningkatan dan kementerian berharap momentum itu dapat dikekalkan walaupun berdepan kemungkinan fenomena El Nino pada penghujung tahun hingga awal tahun depan. -BH Online