Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diberi kepercayaan oleh China dan negara-negara ASEAN sebagai penyelaras bagi projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China yang bernilai kira-kira RM19.7 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek yang sedang dilaksanakan hingga Oktober 2028 merangkumi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sistem penyelarasan dan arahan operasi kecemasan.

Katanya, ia turut membabitkan aplikasi mudah alih untuk membantu pasukan di lapangan menyelaras operasi ketika bencana.

“Dalam mesyuarat ini saya menekankan kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama di bawah Pelan Kerja ASEAN-China 2026-2030.

“Apabila bantuan perlu digerakkan merentas sempadan, pasukan dari negara berbeza mesti sudah terlatih untuk beroperasi bersama dan jelas tentang peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, ASEAN turut melancarkan tiga Pelan Kerja Pengurusan Bencana 2026-2030 bersama China, Jepun dan Korea.

“Dalam sesi bersama Jepun, delegasi Malaysia memberi tumpuan kepada latihan kesiapsiagaan komuniti dan pembangunan kepimpinan tempatan.

“Bersama Korea pula, Malaysia menggariskan keutamaan untuk memperkukuh sistem amaran awal dan memperluas penyampaian maklumat bencana secara digital kepada penduduk di kawasan berisiko,” katanya.

Katanya, melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, Malaysia sedang membangunkan strategi di peringkat negeri agar persediaan menghadapi bencana disesuaikan dengan risiko setempat dan keperluan golongan rentan.

“Di peringkat serantau pula, Malaysia menyeru agar AHA Centre diperkukuh melalui sokongan institusi dan pembiayaan yang mampan. Kerjasama di bawah One ASEAN, One Response juga perlu merangkumi pencegahan, kesiapsiagaan dan tindakan awal agar negara anggota dapat menyelaras bantuan sebaik sahaja amaran dikeluarkan,” katanya.

Ahmad Zahid turut mencadangkan agar NADMA dan Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Republik Korea (MOIS), mula mengenal pasti peluang untuk latihan bersama dan pertukaran kepakaran.

“Kerjasama ini boleh diteroka sementara draf Memorandum Persefahaman mengenai pengurusan bencana menjalani semakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Malaysia turut meneroka peluang untuk menempatkan pegawai pengurusan bencana negara di Republik Korea bagi menjalani latihan di bawah Program PRESTIJ Pengurusan Bencana.

“Melalui latihan ini, pegawai kita berpeluang mempelajari cara sistem amaran awal dan teknologi kecemasan digunakan di lapangan serta membawa pulang amalan yang sesuai untuk diterapkan dalam operasi di Malaysia.

Tambahnya, Malaysia juga menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog bagi memastikan Program Kerja AADMER 2026-2030 diterjemahkan kepada tindakan nyata yang melindungi nyawa, mata pencarian dan hasil pembangunan yang telah dicapai.-BH Online