PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjalinkan kerjasama lima tahun dengan 16 rakan strategik bagi memperluas akses kepada saringan, intervensi dan rawatan obesiti di fasiliti kesihatan serta peringkat komuniti.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerjasama itu membabitkan badan berkanun, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, ia mencerminkan keperluan pendekatan menyeluruh yang merentas sektor kesihatan dalam usaha mencegah dan mengatasi obesiti.
Beliau berkata, enam bidang utama kerjasama itu merangkumi promosi kesihatan, saringan, akses kepada rawatan, latihan dan pembangunan kapasiti, sokongan digital serta khidmat rundingan teknikal.
“Kerjasama ini perlu berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan integriti, dengan kepentingan kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Penyakit Tidak Berjangkit Malaysia (NCDM) 2026 di Taylor’s University, dekat sini, hari ini.
Antara 16 rakan strategik terbabit ialah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Persatuan Obesiti Malaysia, Persatuan Dietitian Malaysia, Persatuan Kajian Obesiti Malaysia dan Persatuan Pakar Bedah Gastrointestinal Atas Malaysia.
Persidangan tiga hari hingga Ahad itu turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) secara simbolik antara KKM dengan rakan strategiknya, selain pelancaran Buku Resipi Mai Kurang Jilid 2.
Menurut ringkasan MoU itu, kerjasama berkenaan turut memberi tumpuan kepada peluasan akses kepada terapi pemakanan, preskripsi senaman, rawatan farmakoterapi serta pembedahan bariatrik metabolik sebagai sebahagian daripada pengurusan obesiti secara menyeluruh.
Dr Dzulkefly berkata, kerjasama itu juga menyokong pelaksanaan perkhidmatan Pengurusan Obesiti Bersepadu Pelbagai Disiplin (MIMO) yang kini disediakan di 33 klinik kesihatan dan 14 hospital KKM seluruh negara.
Katanya, perkhidmatan itu mengukuhkan penyelarasan rawatan melalui pendekatan pelbagai disiplin yang berasaskan bukti saintifik, berteraskan ihsan dan bebas daripada stigma.
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, beliau berkata, sebanyak 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, sekali gus meningkatkan risiko diabetes, penyakit kardiovaskular, strok dan beberapa jenis kanser.
“Obesiti ialah penyakit kronik yang kompleks dan dipengaruhi faktor biologi, genetik, persekitaran, sosial serta tingkah laku. Ia bukan sekadar soal pilihan peribadi atau kekurangan disiplin,” katanya.
Mengulas mengenai buku itu pula, Dr Dzulkefly berkata, ia memuatkan 35 resipi baharu, menjadikan keseluruhan 65 resipi selepas 30 resipi diterbitkan dalam jilid pertama.
Antara resipi diketengahkan dalam Jilid 2 ialah laksa asam, nasi ayam Hainan, ikan kembung percik dan kari ayam dalam versi lebih sihat.
Beliau berkata, resipi itu akan diterapkan dalam Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera (IPASS) bagi sektor awam dan Program Kesihatan Tempat Kerja Bersepadu (IWHP) untuk sektor swasta bertujuan menggalakkan amalan pemakan lebih sihat tanpa mengetepikan cita rasa serta kebebasan memilih. -BH Online

