BAGAN DATUK: Kerajaan menyasarkan tahap pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) mencapai 100 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan peningkatan pencapaian institusi maahad tahfiz yang semakin mengutamakan standard dan piawaian tinggi dalam aspek penghafazan al-Quran.
Beliau berkata, Laporan Kajian Penilaian Pelaksanaan dan Keberkesanan DPTN yang dilancarkan sempena sedekad pelaksanaan dasar berkenaan sejak diperkenalkan pada 2016 merekodkan tahap pelaksanaan sebanyak 84 peratus, manakala keberkesanannya mencapai 71 peratus.
“Daripada segi hafazan, ia mesti sempurna, termasuk tasmi’ dan tahsin. Untuk syahadah, ia mesti sifar kesilapan.
“Saya fikir berdasarkan perkembangan dan pencapaian maahad tahfiz ketika ini, mereka sudah mencapai standard atau piawaian tinggi dan sasaran 100 peratus bukan satu yang mustahil.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, apabila kita melaksanakan ujian dan memberikan akreditasi, sasaran itu boleh dicapai, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Himpunan 26K Huffaz Kebangsaan 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kejayaan dalam bidang hafazan didorong tiga elemen utama iaitu fokus, disiplin tinggi dan kesungguhan pada tahap optimum.
Katanya, kerajaan turut berusaha memperluas peluang kepada golongan huffaz dengan mengintegrasikan pendidikan hafazan al-Quran dalam bidang akademik, sains, profesional serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita mahu mereka bukan sahaja cemerlang dalam hafazan, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk berjaya dalam bidang akademik dan TVET.
“Disiplin yang diterapkan dalam pendidikan hafazan al-Quran perlu dikembangkan dalam bidang lain termasuk sains dan profesional,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut memperluas inisiatif pendidikan tahfiz kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan kanak-kanak autisme.
Katanya, usaha menyediakan maahad tahfiz khusus untuk golongan OKU penglihatan sebelum ini turut disokong dengan penerbitan ribuan naskhah al-Quran Braille sebagai panduan mereka.
“Usaha ini kini diperluas kepada kanak-kanak autisme. Tahun depan sebanyak 132 Tabika Autisme di bawah KEMAS akan beroperasi di seluruh negara dan kita akan menerapkan modul penghafazan al-Quran kepada mereka.
“Kita sudah menjalankan ujian di tiga tabika di Melaka dan tahap pencapaiannya cukup baik. Saya yakin kanak-kanak autisme juga mempunyai kemampuan untuk menghafaz al-Quran sekiranya pendekatan pedagogi bersesuaian diterapkan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, daripada 27 institusi tahfiz yang menjalani penilaian menerusi Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) tahun ini, purata pencapaian keseluruhan direkodkan sebanyak 87.26 peratus.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyampaian insentif RM50,000 setiap satu kepada 10 institusi tahfiz cemerlang menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Insentif berkenaan adalah bagi menyokong usaha memperkasa ekosistem pendidikan tahfiz negara, sekali gus merealisasikan sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050. -BH Online
