Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan pada awal 2027.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata persiapan pelaksanaannya kini memasuki fasa penyelarasan akhir antara Malaysia dengan Singapura.

Katanya, penyelarasan itu penting bagi memastikan pelaksanaan pelan induk berkenaan dapat berjalan lancar dan teratur.

Beliau berkata, perkembangan JS-SEZ juga akan menjadi antara agenda penting dibincangkan pada Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura (Annual Leaders’ Retreat – ALR) yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

“Pelancaran pelan induk itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi, merancakkan aktiviti pelaburan, dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi serta pekerjaan berkualiti yang memberi manfaat kepada rakyat.

“JS-SEZ adalah inisiatif kerjasama ekonomi rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura yang bertujuan memanfaatkan kekuatan ekonomi kedua-dua negara, terutama kedudukan strategik Johor yang bersempadan dengan republik itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Melalui kerjasama itu, Akmal Nasrullah berkata, Johor berpotensi menjadi destinasi pelaburan yang menawarkan akses kepada pasaran, tenaga kerja serta rangkaian perniagaan serantau, manakala Singapura menyediakan hubungan kepada rangkaian kewangan, teknologi dan pasaran antarabangsa.

Katanya, inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hubungan ekonomi rentas sempadan, memudahkan urusan perniagaan dan memperkukuh daya saing rantau Johor-Singapura sebagai destinasi pelaburan.

Pelaksanaan JS-SEZ dijangka membuka ruang kepada pengembangan aktiviti ekonomi dalam sektor berpotensi, selain menyokong pertumbuhan perniagaan dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat.

Sebelum ini, JS-SEZ dimeterai menerusi perjanjian Malaysia-Singapura yang ditukar pada 7 Januari 2025, susulan memorandum persefahaman (MoU) pada 11 Januari 2024. 

Zon ekonomi khas itu meliputi kawasan seluas kira-kira 3,588 kilometer persegi dengan sembilan zon tumpuan dan 11 sektor ekonomi. -BH Online