Sorting by

×

Gabungan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) akan melancarkan manifesto mereka esok sempena pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid manifesto tersebut akan merangkumi semua golongan dan membawa kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Ada banyak perkara yang akan dibentangkan dalam manifesto itu. Manifesto tersebut akan menyentuh mengenai perkara-perkara yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara menyeluruh kerana kerajaan negeri ketika ini bukan saja gagal, malah tak buat apa-apa pun.

“Apa yang beliau (Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) buat selain mengata orang lain? Kalau nak jadi pemimpin, anda kena serius kerana antara kepimpinan negeri dengan rakyat, di tengah-tengahnya ada pegawai kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan program demi pembangunan negeri.

“Tetapi kalau anda tak serius selain tidak memiliki inovasi serta kreativiti, apa yang pegawai kerajaan nak laksanakan? Sebab itu ketika ini, tak ada apa yang rakyat dapat walaupun sudah tiga tahun mereka memerintah.

Majlis pelancaran manifesto tersebut akan berlangsung di tapak letak kereta Bandar Laguna Merbok pada pukul 9 malam dan semua calon BN dan PH akan diperkenalkan kepada rakyat semasa acara ini.

“Ketika ini segalanya berjalan lancar buat kami. Kami juga bersetuju untuk melaksanakan jelajah kepimpinan sepanjang tempoh berkempen dan satu jawatankuasa melibatkan kedua-dua gabungan akan ditubuhkan untuk menyelaras siri jelajah tersebut.

“Jawatankuasa itu akan menyelaras kedatangan pemimpin-pemimpin Pusat ke Kedah dan menentukan lokasi terbaik untuk mereka berkempen. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan kita umumkan dari semasa ke semasa,” katanya.