Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng menggesa bekas calon yang digugurkan dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos untuk bersatu dalam parti dalam memastikan Pulau Pinang kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Lim berkata DAP memahami perasaan bekas Adun yang digugurkan tetapi berharap mereka akan menyokong keputusan parti.

“Marilah kita bersama dalam memastikan kita mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang,” katanya kepada media selepas satu acara di Bukit Bendera.

Lim turut menangkis kritikan pencalonannya di DUN Air Putih meskipun memegang kerusi parlimen Bagan.

Beliau berkata kepimpinan DAP memerlukan campuran “kesinambungan dan pembaharuan”.

DAP Pulau Pinang menamakan 19 calon semalam dan menggugurkan tujuh, termasuk lima yang menjadi ahli majlis mesyuarat kerajaan.

Bekas ADUN Bagan Dalam M Satees yang tidak dicalonkan semula mendakwa ada pihak yang melayan Pulau Pinang seperti harta peribadi dan diberi hak penuh untuk menentukan calon DAP dalam PRN ini.

Satees turut menggelar individu tersebut sebagai “maharaja” dan beliau mendakwa bahawa dirinya dan lima yang lain tidak lagi tersenarai dalam pasukan sama dengan “maharaja”.

Dia turut mendakwa bahawa mereka berenam digugurkan kerana lantang menyokong calon Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Lim menafikan dakwaan tersebut memandangkan semua calon yang dicalonkan oleh DAP akan menyokong Chow sebagai ketua menteri.

“Saya tidak rasa ia berbaloi untuk diulas,” katanya.