Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Naib ketua pemuda PAS Tasek Gelugor Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar telah memberikan amaran kepada presiden Parti Gerakan Dominic Lau Hoe Chai agar tidak bermain dengan api dengan bertanding di kawasan di bawah parlimen Tasek Gelugor, terutamanya Permatang Berangan.

Jangan sesekali bermain dengan api nanti api itu sendiri akan memakan diri. Jangan cabar kesabaran Pemuda PAS!

“Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor (DPPKTG) hari ini dengan sekerasnya meminta Dominic Lau Hoe Chai , Pengerusi Parti Gerakan Malaysia untuk berundur dan tidak berangan-angan untuk bertanding kerusi Melayu di Tasek Gelugor pada PRN akan datang.

“Pemuda PAS Tasek Gelugor memberi amaran keras kepada Saudara Dominic Lau Hoe Chai sekiranya masih berkeras untuk bertanding di kerusi Melayu, kami Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor bersama dengan seluruh jentera akan menggerakkan perarakan besar-besaran calon BEBAS di Telok Ayer Tawar dan Permatang Berangan pada penamaan calon 29 Julai nanti.

“Dewan Pemuda PAS Tasek Gelugor bersama dengan pengundi di Permatang Berangan dan Telok Air Tawar akan memastikan kekalahan kepada calon gerakan di Telok Air Tawar dan calon Bersatu di Permatang Berangan jika tuntutan ini tidak dipenuhi.”

Lau pasti akan bertanding di Pulau Pinang walaupun senarai pencalonan parti tersebut belum diumumkan. Ini kerana mereka berhasrat untuk kembali ke DUN setelah dikalahkan dalam tahun 2008.

Permatang Berangan adalah salah satu dari tiga kerusi DUN di Tasek Gelugor dengan lebih 80 peratus undi Melayu. Sungai Dua juga mempunyai lebih 80 peratus undi Melayu.

DUN ketiga pula ialah Telok Ayer Tawar hanya mempunyai 66 peratus undi Melayu.

Berdasarkan keputusan pilihan raya pada 2018, peluang PAS memenangi Permatang Berangan tinggi kerana majoriti yang dimenangi calon UMNO ialah 646 undi sahaja.

Dalam pilihan raya umum lalu, Permatang Berangan dan Sungai Dua dimenangi UMNO manakala Telok Ayer Tawar dimenangi oleh PKR.

Untuk rekod, Lau terpalit dengan kontroversi semalam apabila terdapat ciapan bahawa dia berminat untuk bertanding di kawasan Pulai.

Lau bagaimanapun mendakwa bahawa akaun Twitternya digodam.