Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Barisan Nasional (BN) Terengganu tawar manifesto lima teras pikat pengundi muda.

Menurut pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, pihaknya yakin manifesto yang bertemakan ‘Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran mampu memikat semula pengundi muda dan merampas kembali negeri Terengganu.

lima teras itu merangkumi kebajikan dan sosial, pendidikan dan agama, infrastruktur, ekonomi serta orang muda dan belia.

“Kita mengajak orang muda supaya memikirkan masa depan mereka sebaik-baiknya untuk memilih BN yang kini berada dalam kepimpinan di peringkat pusat.

“Ini kerana sangat penting bagi memastikan kerajaan negeri sealiran dengan kerajaan persekutuan kerana lebih banyak perancangan pembangunan dan kebajikan dapat dijalankan bersama,” katanya selepas pelancaran manifesto BN Terengganu di Pejabat Perhubungan UMNO Terengganu.

Manifesto BN Terengganu meliputi dana pencen RM800, pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah RM5,000 (subsidi RM500), bantuan komputer riba kepada pelajar institusi pengajian tinggi selain bantuan awal persekolahan kepada semua pelajar.

Untuk golongan muda, BN Terengganu akan mewujudkan Yayasan Kebajikan Anak Muda Terengganu, dana tahunan RM5,000 untuk persatuan belia, bantuan lesen memandu dan lesen perniagaan, memperbanyakkan kemudahan e-sukan, memperkasakan latihan kemahiran selain menjadikan sukan sebagai kerjaya.

Ahmad Said usaha sedang dibuat untuk mengembalikan kegemilangan pendidikan negeri.

“Ini dapat dibuktikan menerusi pelbagai tawaran antaranya mengagihkan semula e-book secara percuma kepada murid Tahun Dua di sekolah kebangsaan.

“Kita akan naik taraf sekolah-sekolah Menengah Imtiaz sedia ada dan bina baharu di Marang, Setiu dan Kuala Nerus serta membina sebuah Universiti Sains al-Quran di Terengganu.

“Kita juga akan meneruskan Lebuhraya Pantai Timur fasa ketiga, membina jalan empat lorong dari Kuala Terengganu ke Besut, membina 10,000 rumah mampu milik dan menaik taraf kemudahan infrastruktur di semua jeti pelancongan,” jelas beliau.