NAGOYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara keirin pada Sukan Asia Aichi-Nagoya, hari ini, 16 tahun selepas memenangi emas pertamanya di pentas temasya itu.
Azizulhasni menggunakan pengalaman dimilikinya untuk memintas pelumba China, Li Zhiwei di garisan penamat sekali gus memastikan kemenangan.
Xie Han dari China menduduki tempat ketiga, manakala rakan sepasukan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom di tempat kelima pada perlumbaan akhir di Velodrom Izu, Shizuoka.
Ia adalah pingat emas ketiga Azizulhasni dalam karier Sukan Asia selepas muncul juara acara pecut individu lelaki di Indonesia 2018 dan memenangi emas keirin di Guangzhou 2010.
Terdahulu, pelumba berusia 38 tahun itu memenangi saringan separuh akhir, hari ini, menamatkan perlumbaan di depan Minato Nakaishi (Jepun) dan Yung Tsun Ho dari Hong Kong yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Shah pula menduduki tempat ketiga dalam kumpulan separuh akhirnya di belakang dua pelumba China, Xie Han dan Li Zhiwei, yang mengungguli perlumbaan berkenaan.
Walaupun usia semakin meningkat, Azizulhasni berada dalam prestasi terbaik musim ini apabila memenangi emas keirin pada Sukan Komanwel Glasgow, Ogos lalu, selain meraih dua pingat emas keirin pada siri Piala Dunia UCI awal tahun ini. -BH Online
