Sorting by

×

Dari sejumlah 58 kerusi yang ditandingi oleh PKR di dalam pilihan raya negeri di enam negeri, 20 terletak di Selangor yang merupakan kubu Pakatan Harapan sejak 2008.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini Dato’ Seri Amirudin Shari bukan sahaja calon Menteri Besar tetapi juga kekal mempertahankan Sungai Tua.

Ada kawasan yang ditukarkan dengan parti komponen Pakatan Harapan dan BN. Ada calon yang digugurkan.

Dua tokoh PKR Cina yang tidak dinamakan ialah Lee Hoy Sian dan Elizabeth Wong. Lee sebelum ini mewakili DUN Kajang manakala Wong di Bukit Lanjan. David Cheong Kian Yong menggantikan Lee manakala Pua Pei Leng menggantikan Wong.

DUN Batu Tiga yang diwakili Rodziah Ismail yang juga Ahli Parlimen Ampang diberikan kepada Amanah. Amanah pula memberikan kerusi Hulu Kelang yang sebelum ini diuar-uarkan akan dipertahankan oleh anak kepada penyandang kerusi, Saari Sungib.

Juwairiya Zulkifli yang sebelum ini mewakili Bukit Melawati akan bertanding di Hulu Kelang. Terdapat ura-ura bahawa Datuk Seri Azmin Ali akan berpindah ke Hulu Kelang dari Bukit Antarabangsa.

Kerusi Bukit Melawati pula akan ditandingi oleh calon baru iaitu naib ketua AMK Thiban Subramaniam. Ini sebahagian daripada usaha PKR memastikan semua kaum diwakili dalam barisan calonnya.

Calon baru Kamri Kamarudin menggalas tugas merampas semula Bukit Antarabangsa dari Datuk Seri Azmin Ali, mantan timbalan presiden PKR yang kini bersama Bersatu.