Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Dari sejumlah 245 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan di dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri, Barisan Nasional mempertaruhkan 108 calon, kata pengerusi BN merangkap presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika majlis penamaan calon di Dewan Tun Hussein Onn, WTC

“Insya-Allah BN akan letakkan 108 calon, daripada jumlah tersebut 63 peratus calon muka baru, 18 peratus penyandang sedia,” katanya ketika berucap.

Baki 19 peratus terdiri dari calon yang pernah bertanding sebelum ini, tewas dan masih mahu menabur bakti.

Menurut Zahid, kumpulan ketiga ini akan memastikan kesinambungan kepimpinan baru dengan lama.

Beliau turut menyatakan bahawa ramai calon yang dinamakan nanti terdiri dari golongan profesional yang memahami aspirasi kerajaan perpaduan.

Status insolvensi, rekod jenayah dan kes mahkamah syariah merupakan antara perkara yang diteliti dalam menyaring calon, katanya.

“Saya telah jumpa tiap-tiap orang dari mereka,” kata Zahid.

Selain itu beliau turut menyatakan bahawa pemilihan calon tersebut dibincang bersama lima pimpinan tertinggi Umno iaitu timbalan presiden dan tiga naib presiden.

Beliau juga yakin kelainan akan berlaku untuk menebus maruah yang tercalar dalam pilihan raya umum ke 15.

Slogan

Slogan rasmi BN di dalam ini ialah Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran. Walau bagaimanapun setiap negeri mempunyai slogannya yang tersendiri.

Kalih Bagi Sama – Kedah

Kelantan Ubah – Kelantan

Gelombang Biru – Terengganu

Langgar Sampai Menang – Pulau Pinang

Perpaduan Boleh Kita Selangor – Selangor

Kita Gerak Bersama – Negeri Sembilan

Jumlah kerusi

Dari sejumlah 108 kerusi, BN bertanding jumlah kerusi paling sedikit di Pulau Pinang iaitu enam kerusi sahaja.

Jumlah kerusi terbanyak ditandingi Kelantan, sebanyak 30 kerusi diikuti dengan Terengganu 27.

Di Kedah sebanyak 14 kerusi, Negeri Sembilan 15 dan Selangor, 12.

Calon

Di Kedah, ketua perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mahdzir Khalid bertanding di DUN Pedu manakala muka baru Khizri Abu Kassim dipertaruhkan untuk merampas kerusi Jeneri yang diwakili oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mantan ahli parlimen Kepala Batas, Reezal Merican Naina diturunkan di DUN Bertam, Pulau Pinang.

Di Selangor, satu-satunya kawasan parlimen di mana BN bertanding di dua DUN ialah di kawasan parlimen Hulu Langat.

Datuk Johan Aziz dinamakan untuk DUN Dusun Tua manakala Wan Zulaika Anua dinamakan untuk DUN Semenyih. Dusun Tua telah diwakili DAP dan parti tersebut sebelum ini berhasrat bertanding di Semenyih juga.

Pengerusi perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan bertarung di DUN Gombak Setia.

Peguam Datuk Hasnul Rezua Merican Habib Merican ialah muka baru yang diturunkan di DUN Kuang.