Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan mencetuskan gelombang hijau di dalam pilihan raya melibatkan enam negeri pada 12 Ogos.

Timbalan presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata rakyat sedar bahawa tindakan mahkamah yang dihadapi Sanusi adalah berlandaskan undang-undang negara.

“Saya rasa anak-anak muda, orang (masyarakat) Melayu sebenarnya faham apa akhlak dan budi pekerti orang Melayu yang sepatutnya. Saya tidak rasa ia akan menjadi gelombang besar untuk rakyat menyokong tokoh politik seperti ini.

“Rakyat boleh menilai dan untuk itu berpeganglah pada prinsip, jangan melampau ataupun melampaui batas,” katanya kepada pemberita pada program pelancaran Inisiatif Payung Rahmah bersama Air Asia Superapp di KL Sentral hari ini.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas dakwaan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat bahawa pendakwaan dibuat ke atas Sanusi kerana tarikh pilihan raya negeri yang semakin hampir.

Pagi ini Sanusi didakwa kerana mempersoal kewibawaan sultan Selangor dalam pelantikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan kewibawaan Agong dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang kerana kesalahan yang dilakukan pada 11 Julai pukul 11 malam.

Kedua-dua tuduhan dikemukakan di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.