Sorting by

×

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menasihatkan presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang agar bertaubat dari memfitnah DAP dengan menggunakan retorik kaum dan agama.

Nga yang juga naib pengerusi DAP berkata Hadi perlu kembali ke pangkal jalan kerana fitnah adalah dosa di sisi Islam.

“Saya rasa Haji Hadi ini kadang-kadang beliau perlulah bertaubat kerana fitnah adalah dilarang oleh agama Islam.

“Fitnah demi fitnah tidak akan membantu. Oleh itu, saya berharap dan berdoa supaya beliau kembali ke pangkal jalan,” katanya pada sidang media Program Sentuhan Kasih Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang baru-baru ini mendakwa DAP memiliki agenda perkauman Cina serta menyambung usaha penghapusan ketuanan Melayu serta Bumiputera yang dirancang penjajah British.

Hadi turut mendakwa DAP menggunakan jurubicara dalam kalangan orang Melayu untuk mencapai agenda parti itu, manakala parti lain yang bekerjasama dengan DAP hanya menang dalam pilihan raya kerana menumpang pengaruhnya.

Nga turut diminta isu siasatan polis ke atas pengerusi DAP, Lim Guan Eng kerana mengeluarkan kenyataan berkait 3R.

“Saya rasa tak jadi masalah pun. Guan Eng sudah keluarkan kenyataan menjelaskan kenyatannya telah disalah terjemah. Memang ia tafsiran yang salah.

“Media China Press juga sudah mengeluarkan satu laporan memaklumkan Guan Eng tak kata macam itu, dia sudah di salah terjemah oleh media dalam talian tertentu,” katanya.