Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ketua Menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow yakin gabungan PH-BN akan menang majoriti dua pertiga di dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos meskipun terdapat kerisauan berkenaan sentimen pengundi Melayu ke arah pembangkang.

Chow berkata gabungan yang diketuai beliau di negeri tersebut mendapat sokongan pengundi kerana rekod PH memerintah Pulau Pinang selama 15 tahiun.

PH akan berkempen dengan menggunakan rekod memimpin negeri ini di mana 94 peratus daripada perkara yang tersenarai di dalam manifesto pilihan raya 2018 telahpun tercapai, katanya kepada radio BFM89.9.

“Langkah ke depan telah pun dirancang,” kata Chow merujuk kepada pelan pembangunan Wawasan Pulau Pinang 2030 yang berhasrat menukar negeri ini kepada sebuah bandaraya global.

“Selain daripada mencapai kebanyakan matlamat kita, ada faktor lain yang akan turut memihak kepada kita. Oleh itu saya berani mengatakan bahawa kita boleh menang majoriti dua pertiga di negeri ini.”

PH telah mengekalkan majoriti dua pertiga sejak pilihan raya pada 2013 dan meningkatkan kehadiran mereka apabila memenangi 37 dari 40 kerusi DUN pada tahun 2018.

Ia kehilangan tiga kerusi apabila tiga ahlinya berpaling tadah kepada Perikatan Nasional seusai Langkah Sheraton.

Chow mendakwa bahawa PN sendiri tidak yakin bahawa pakatan terebut boleh menang di Pulau Pinang. Ini adalah berdasarkan ramalan Tan Sri Mahiaddin Yassin bahawa PN boleh menang maksima 20 kerusi DUN sahaja.

“Itu tidak cukup untuk memenangi negeri ini,” kata Chow yang juga ADUN Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan.

7 kerusi untuk BN

Chow turut mengesahkan bahawa BN akan bertanding di tujuh kerusi. Di dalam pilihan raya lalu, ia menang dua kerusi.

Beliau yakin pola pengundian PRU15 ridak akan berulang kerana BN dan PH tidak lagi bermusuhan.

Beliau juga yakin para pengundi dapat melihat kesan kerjasama kedua pakatan politik di bawah kerajaan perpaduan selama lapan bulan.

PRU lepas untuk kerusi parlimen. Fokus sekarang ialah prestasi negeri. Oleh itu kita harap untuk kekal,” kata Chow.

Ditanya mengenai rancangan untuk mempertahankan kerusi DUN dan samada beliau berpeluang menjadi Ketua Menteri untuk penggal kedua, beliau berkata beliau sanggup menawarkan khidmatnya tetapi ia akan diputuskan oleh DAP.

Chow sudah menghabiskan satu penggal sebagai ketua menteri dan Pulau Pinang ialah negeri pertama yang mengehadkan tempoh ketua menteri kepada dua penggal.