Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Kerajaan Negeri sedang menaik taraf Akademi Laut Malaysia (ALAM) kepada kolej universiti bagi memperkukuh peranannya sebagai pusat pendidikan dan pembangunan tenaga profesional maritim.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri mahu ALAM terus diperkasa sebagai sumber tenaga profesional maritim bukan sahaja untuk negara ini, malah memenuhi keperluan industri pada peringkat antarabangsa.

“Kerajaan negeri berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan ALAM bagi memperkasakan pembangunan modal insan berkaitan bidang maritim selaras dengan kedudukan Melaka yang mempunyai sejarah panjang dalam sektor berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Ab Rauf merasmikan The Next Wave: Maritime Education Symposium sempena Minggu Maritim Malaysia 2026 dan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara MISC Berhad dengan kerajaan negeri di ALAM, Kuala Sungai Baru di sini.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang meningkatkan jumlah penerima bantuan pendidikan Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bagi pelajar yang berasal dari Melaka dan menuntut di ALAM, iaitu daripada tiga kepada lima orang pada masa akan datang.

“Setakat ini, TAPEM menyediakan bantuan pinjaman pendidikan berjumlah RM300,000 kepada tiga kadet (pelajar) Melaka yang mengikuti pengajian di institusi berkenaan. Cadangan menambah jumlah penerima itu akan dipertimbangkan berdasarkan permintaan, kemampuan serta implikasi kewangan kepada kerajaan negeri.

“Kita memang ada peruntukan untuk membiayai pelajar-pelajar yang berpotensi menjadi cemerlang. Kita akan menilai serta menganugerahkan kepada mereka (pinjaman) yang bersesuaian di ALAM ini,” katanya.

Ab Rauf berkata langkah itu adalah antara usaha kerajaan negeri untuk memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak Melaka mendapatkan pendidikan dan latihan dalam bidang yang mempunyai prospek kerjaya tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri turut bercadang memperkenalkan Anugerah Tokoh Panglima Awang sebagai Anugerah Alam Samudera bagi mengiktiraf pelajar cemerlang ALAM yang mengkaji tentang maritim.

“Kita beri Kerusi Panglima Awang atau Henry The Black ini kepada ALAM untuk menjadi motivasi pendidikan kepada pelajar-pelajar yang menerokai alam maritim di bumi Melaka.

“Kita akan berbincang selanjutnya dengan ALAM…berapa lama kita nak beri kerusi ini kepada mereka untuk menjadikan ALAM sebagai sumber pelaburan tenaga pekerja maritim bukan sahaja kepada Malaysia tetapi bagi menerokai dunia,” katanya. -BH Online