KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini menggalas tanggungjawab besar apabila memelihara hampir 500 juta rekod fizikal kependudukan rakyat Malaysia yang menjadi khazanah penting identiti negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata liputan pendaftaran kependudukan negara yang bermula seawal 1869 di Pulau Pinang menyaksikan peranan JPN berkembang bukan sekadar menguruskan dokumen, malah memelihara rekod kehidupan setiap warga.
Dari 2022 hingga 15 September lalu sahaja, JPN merekodkan pendaftaran membabitkan lebih 2.03 juta kelahiran, 968,355 kematian serta 23,170 pendaftaran pengangkatan.
Lebih 25 juta rakyat Malaysia pegang MyKad
“Dalam tempoh sama, lebih 25 juta rakyat Malaysia memegang MyKad sebagai dokumen pengenalan diri rasmi.
“Namun, ukuran sebenar perkhidmatan awam bukan hanya terletak pada jumlah urusan di kaunter, sebaliknya sejauh mana kerajaan sanggup pergi bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menerima hak mereka,” katanya dalam satu hantaran ulang tahun ke-78 JPN di Facebook, hari ini.
Saifuddin berkata, memahami kekangan masyarakat terutama warga emas, orang kurang upaya (OKU), komuniti di pedalaman mahupun keluarga yang berdepan masalah pendaftaran, JPN mengambil langkah proaktif turun padang menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Katanya, pendekatan itu mengukuhkan perkhidmatan sedia ada di 211 pejabat JPN di seluruh negara bagi memastikan perkhidmatan pendaftaran dibawa terus kepada rakyat.
”Antara 2022 hingga 15 September lalu, JPN menerima 55,788 permohonan pendaftaran kelahiran lewat. Menerusi MEKAR, kita tidak hanya menunggu rakyat datang, sebaliknya kerajaan sendiri berusaha menghampiri mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan inisiatif MEKAR DIDIK yang dilancarkan pada November 2024 hasil kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
Inisiatif berkenaan menyelesaikan semua 12,101 kes murid sekolah kerajaan yang dikenal pasti berdepan isu keciciran dokumen pengenalan diri sebelum ini.
“Bagi sebilangan kita, sijil kelahiran atau kad pengenalan mungkin sekadar sekeping dokumen. Namun bagi seorang anak, ia membuka jalan kepada masa depan, hak mendapat pendidikan dan urusan penting kehidupan.
“Menerusi aspirasi Kerajaan MADANI, JPN perlu kekal cekap, berintegriti dan memanfaatkan teknologi tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan serta ketelitian berlandaskan undang-undang,” katanya. -BH Online

