BUKIT MERTAJAM: Malaysia kini hanya selangkah lagi untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi berdasarkan ambang pendapatan per kapita Bank Dunia, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita Malaysia mengikut kaedah Atlas Bank Dunia telah mencapai AS$12,380 iaitu tertinggi sejak merdeka.
Saiz ekonomi negara yang diukur mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini meningkat kepada AS$472 bilion, juga nilai tertinggi sejak 1957.
“Bagi tahun kewangan 2027, ambang PNK per kapita mengikut Kaedah Atlas Bank Dunia bagi status negara berpendapatan tinggi ialah AS$14,376.
“Malaysia kini hanya selangkah lagi untuk mencapai status tersebut. Sudah tidak jauh daripada matlamat kita,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Kemuncak ‘National Training Week‘ (NTW) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Ramanan berkata, pencapaian itu menunjukkan negara berada pada landasan tepat hasil pelbagai usaha kerajaan dalam memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan serta meningkatkan daya saing tenaga kerja.
Sementara itu, beliau berkata pengurusan dana yang telus amat penting kerana peluang meningkatkan kemahiran rakyat hanya dapat diwujudkan melalui institusi yang kukuh, dipercayai dan mempunyai kepakaran dalam pembangunan bakat negara.
Program Latihan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan modal insan negara terus diperkasa, dengan Pulau Pinang merekodkan lebih 8,000 majikan berdaftar melibatkan 445,792 pekerja.
Ramanan berkata, bagi separuh pertama 2026, kutipan levi latihan di negeri itu berjumlah RM129.72 juta, dengan RM113.74 juta telah disalurkan semula untuk tujuan peningkatan kemahiran tenaga kerja menerusi 125,398 latihan yang telah dijalankan.
“Saya sentiasa menegaskan bahawa setiap sen levi yang diamanahkan oleh majikan mesti diuruskan dengan penuh integriti.
“Dalam tempoh enam bulan pertama sahaja, hasil memperkukuhkan tadbir urus telah berjaya pulihkan sebanyak RM437.3 juta melalui langkah optimisasi dan pemulihan portfolio.
Mengenai NTW 2026, Ramanan berkata ia menyediakan peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda, pekerja, suri rumah dan pesara untuk meningkatkan kemahiran serta membina masa depan lebih baik. -BH Online
