PORT DICKSON: Kerajaan akan terus berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif baharu 10 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia, seperti diumumkan Presiden Donald Trump, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, rundingan itu kini dilaksanakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selepas dimulakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini.
“Tarif yang diumumkan setakat ini, kita terima walaupun kita sudah utuskan rundingan daripada Tengku Zafrul dan sekarang, Johari meneruskan.
“Jika ada beberapa aspek yang tidak berpuas hati, kita akan bangkitkan lagi.
“Bagaimanapun, sekurang-kurangnya sekarang kita lega kerana tarifnya relatif rendah ketimbang dengan banyak negara lain,” katanya selepas menghadiri Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Azhan Md Othman dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.
Terdahulu, pentadbiran Trump dilapor akan mengenakan tarif baharu sebanyak 10 peratus dan 12.5 peratus ke atas barangan dari 60 rakan dagang termasuk Kesatuan Eropah (EU) bermula hari ini.
Ia susulan dakwaan negara berkenaan gagal menguatkuasakan larangan buruh paksa, seiring tamatnya tarif sementara global sebanyak 10 peratus.
Langkah itu adalah usaha terbaru Rumah Putih mengembalikan visi kempen Trump yang mahu mengenakan tarif secara meluas pada peringkat global.
Pada Februari lalu, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif timbal balik antara 10 peratus hingga 50 peratus yang diperkenalkan pada 2025 di bawah undang-undang darurat negara bagi mengurangkan defisit perdagangan AS.-BH Online

