Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

JEMPOL: Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan projek menaik taraf jajaran kereta api Pantai Timur telah berjaya disiapkan melibatkan dua pakej iaitu A dan B.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Pakej A melibatkan jajaran dari Gemas ke Mentakab manakala Pakej B dari Mentakab ke Gua Musang.

Bagaimanapun katanya, Pakej C yang melibatkan jajaran dari Gua Musang ke Tumpat masih dalam peringkat pelaksanaan.

“Sehingga kini, Projek Pakej A dan Pakej B telah berjaya disiapkan sepenuhnya, manakala Projek Pakej C masih dalam peringkat pelaksanaan.

“Dengan siapnya Projek Pakej A ini, ia bukan sahaja melengkapkan satu lagi komponen penting dalam usaha menaik taraf infrastruktur rel di laluan Pantai Timur, malah turut memperkukuh kesinambungan jaringan kereta api antara Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sesi lawatan kerja Projek Kerja Pemulihan, Naik Taraf Landasan Kereta Api dan Kerja-kerja Berkaitan di antara Gemas, Negeri Sembilan hingga Stesen Kereta Api Mentakab, Pahang di Stesen Keretapi Bahau, hari ini.

Loke berkata, projek ini yang lebih dikenali sebagai Projek Pakej A pada asalnya, telah dimulakan sejak Februari 2016 dengan tarikh asal penyiapan pada 20 Februari 2019.

Bagaimanapun katanya, kontraktor asal projek tidak berjaya menyiapkannya dalam tempoh yang ditetapkan dan telah ditamatkan.

“Menyedari kepentingan projek ini kepada pembangunan infrastruktur rel negara dan kesinambungan laluan kereta api pantai timur, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk meneruskan pelaksanaan projek ini di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi memastikan baki kerja yang masih belum disiapkan dapat diselesaikan.

“Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan selaku agensi pelaksana projek ini telah melaksanakan proses tender semula secara terbuka dengan tarikh milik tapak pada 8 November 2023.

“Hasil daripada perancangan yang teliti, komitmen yang tinggi serta kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat, projek ini akhirnya berjaya disiapkan pada 19 Jun 2026, dengan nilai keseluruhan semasa projek sebanyak RM41.7 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Loke ketika ditemui pemberita selepas itu memaklumkan, berlakunya kelewatan dalam menyiapkan Pakej C.

“Sepatutnya sudah siap lama, (tapi) dia (kontraktor) masih ‘delay’ (lewat). Jadi kita masih menilai apa keputusan seterusnya,” katanya.

Katanya, antara opsyen yang kini dipertimbangkan pihaknya adalah mencari kontraktor baharu.

“Memang itu antara opsyen yang kita akan pertimbangkan. Cuma kontraktor asal itu syarikat tempatan, dia merayu kepada kerajaan untuk diberikan peluang kedua,” katanya. -BH Online