KUALA LUMPUR: Sebuah sekolah rendah baharu, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai akan dibina di tapak bekas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai di Kampung Kerinchi, di sini, bagi menangani isu kesesakan pelajar di beberapa sekolah sekitar Lembah Pantai.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata projek itu dijangka bermula beberapa bulan lagi sebaik kerja merobohkan bangunan lama selesai.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pembinaan sekolah baharu itu sedang diperhalusi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, termasuk menentukan kapasiti yang sesuai berdasarkan unjuran pertambahan penduduk serta pembangunan perumahan baharu di kawasan berkenaan.
“Kita melihat keperluan mendesak untuk membina sekolah baharu kerana beberapa sekolah di Lembah Pantai kini berusia antara 40 hingga 60 tahun, selain berdepan jumlah murid yang semakin meningkat.
“SK Bangsar misalnya mempunyai lebih 1,800 murid, manakala sekolah lain seperti SK Bukit Bandaraya dan SK Bukit Pantai juga padat,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci Blok C di SK Bukit Pantai, di sini hari ini.
Fahmi berkata, sekolah baharu itu dijangka mempunyai sekurang-kurangnya 36 bilik darjah, namun jumlah akhir akan diputuskan selepas kajian keperluan disiapkan.
Beliau berkata, selain membina sekolah baharu, usaha menaik taraf infrastruktur sekolah sedia ada di Lembah Pantai akan diteruskan memandangkan kebanyakan bangunannya sudah berusia dan memerlukan penyelenggaraan menyeluruh.
Katanya, pihaknya juga akan meneliti aspek keselamatan struktur bangunan, termasuk cerun dan pagar sekolah yang berpotensi terjejas akibat faktor usia serta kerja pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berhampiran.
Sementara itu, mengulas penyerahan kunci blok baharu di SK Bukit Pantai, Fahmi berkata, ia mempunyai lapan bilik darjah dan bangunan itu dibina semula selepas rosak akibat serangan anai-anai.
“Kerosakan anai-anai ini sudah berlaku sejak sekian lama dan kita dapati struktur dua blok ini sudah terlalu uzur dan dimamah usia serta banyak struktur kayu asal terkesan akibat serangan anai-anai.
“Pada penggal pertama saya (sebagai Ahli Parlimen), kita tidak berjaya membina semula akibat masalah COVID-19 dan sebagainya
“Bagaimanapun, kita bersyukur pada hari ini kita menyaksikan bilik darjah boleh digunakan semula dan pelajar dapat belajar dalam suasana sangat baik,” katanya. -BH Online
