JOHOR BAHRU: Tindakan Malaysia mengusir warga Israel sekiranya mereka berada di Network School, Forest City, Iskandar Puteri adalah pelaksanaan kepada dasar Malaysia yang tidak mengiktiraf negara itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Amerika Syarikat (AS) sepatutnya tahu dasar negara ini sebelum mahu mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia.
“Soal hubungan ataupun sikap kita terhadap Israel sudah diamalkan daripada dulu. Apa yang berlaku (usir) untuk kita pastikan tiada orang Israel terbabit dalam Network School. Itu hanyalah pelaksanaan dasar kita.
“Memang dasar Malaysia daripada dulu yang kita tak terima orang Israel masuk negara kita,” katanya selepas menyempurnakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini, hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan, sekumpulan lapan Ahli Kongres AS menggesa pentadbiran negara itu mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan tindakan Putrajaya terhadap warga Israel yang didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport negara kedua.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan tidak berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan kerana Malaysia tidak iktiraf Israel. -BH Online

