Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

ALOR GAJAH: Kehadiran lebih ramai ‘mata dan telinga’ di hutan menerusi Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) memberi kesan positif apabila bilangan Harimau Malaya menunjukkan peningkatan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kejayaan itu hasil pemantauan berterusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain pengukuhan penguatkuasaan di kawasan habitat utama.

Menurutnya, BP3 yang mula dilaksanakan sejak 2019 melalui dua inisiatif utama iaitu Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan pelantikan Renjer Komuniti berperanan membendung ancaman pemburuan haram serta memperkukuh perlindungan biodiversiti negara.

Katanya, lima kelahiran Harimau Malaya dalam kurungan yang direkodkan tahun lalu dan tahun ini turut menjadi petunjuk positif terhadap usaha konservasi spesies berkenaan, malah angka peningkatan hidupan liar itu akan diumumkan tidak lama lagi.

“Dalam beberapa tahun ini prestasi yang dicapai amat menggalakkan dan populasi Harimau Malaya menunjukkan peningkatan, angka rasmi akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kes-kes penangkapan semakin meningkat dan ada yang telah dibawa ke mahkamah, justeru ia sangat membantu usaha kita membanteras kegiatan haram yang boleh menjejaskan populasi Harimau Malaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 di A’Famosa Resort di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim. 

Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, berdasarkan rekod sehingga Julai lalu mendapati BP3 berjaya meliputi 60 peratus kawasan habitat utama hidupan liar di Semenanjung Malaysia dengan keluasan hampir 20,000 kilometer persegi menerusi rondaan penguatkuasaan secara berterusan.

Katanya, bagi memperkasakan pemantauan itu kerajaan turut menyasarkan seramai 2,500 renjer komuniti digerakkan di seluruh negara tahun ini secara tidak langsung memperkukuh usaha membanteras jenayah hidupan liar dan melindungi khazanah biodiversiti negara.

“Hasil daripada usaha itu, kita melihat kes penangkapan dan sitaan semakin meningkat. 

“Sekali gus menjadi penghalang kepada kegiatan pemburuan serta perdagangan hidupan liar secara haram,” katanya.

Menurutnya, tujuh siri OBK yang dilaksanakan sepanjang tahun ini turut mencatatkan kejayaan apabila berjaya mengesan dan memusnahkan 29 jerat, menemui 47 khemah, mengesan tujuh kes penebangan serta kesan pokok karas ditakek.

Menurutnya, secara keseluruhan pelaksanaan OBK di Semenanjung Malaysia sehingga Julai lalu turut merekodkan 56 kes tangkapan dengan penahanan 70 individu terdiri daripada 43 warga tempatan dan 24 warga asing.

Malah kata beliau, operasi berkenaan turut merekodkan 185 kesan aktiviti pemburuan haram dan 151 kesan aktiviti manusia di kawasan operasi.

“Nilai keseluruhan sitaan pula dianggarkan RM4.2 juta,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap peningkatan konflik antara manusia dan hidupan liar seperti harimau serta gajah yang dipengaruhi perubahan guna tanah, pembangunan dan pembukaan kawasan baharu.

“Kerajaan menyediakan bantuan kepada mangsa yang mengalami kecederaan atau kerugian harta benda termasuk tanaman dan rumah akibat konflik hidupan liar bagi mengurangkan beban ditanggung.

“Pada masa sama, pelbagai pendekatan jangka panjang dilaksanakan termasuk pembinaan laluan khas hidupan liar di kawasan pembangunan bagi mengurangkan konflik antara manusia dan haiwan liar,” katanya. -BH Online