PUTRAJAYA: Sebanyak 835,146 pesara dan penerima pencen terbitan kini menikmati kemudahan perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan bernilai menerusi inisiatif baharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu penggunaan Touch ‘n Go e-Wallet sebagai saluran alternatif pembayaran pencen serta perluasan manfaat MyPesara Plus.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata saluran alternatif itu inisiatif pertama seumpamanya dalam sektor awam dan diperkenalkan bagi membantu pesara yang menghadapi kekangan menerima pencen akibat akaun bank dibekukan atau disekat susulan menjadi mangsa penipuan kewangan.
Beliau berkata, inisiatif yang direalisasikan melalui kerjasama antara JPA, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Touch ‘n Go e-Wallet, memastikan pesara terus menerima bayaran pencen tanpa gangguan menerusi saluran yang lebih fleksibel serta selamat.
“Sehingga Mei lalu, sebanyak 122 pesara menerima pembayaran pencen melalui kaedah ini yang membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM254,841.21 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, inisiatif MyPesara Plus memperluaskan Program Manfaat Pesara dengan menjadikan kad pesara bukan sahaja sebagai dokumen pengenalan, malah medium untuk menikmati pelbagai manfaat melalui kerjasama strategik dengan sektor swasta.
Beliau berkata, melalui inisiatif itu, pesara boleh menikmati tawaran dan diskaun istimewa daripada rakan strategik dalam sektor kesihatan, farmasi, pengangkutan, peruncitan, penginapan serta pelbagai perkhidmatan lain dengan menggunakan kad pesara fizikal atau aplikasi MyPesara.
Wan Ahmad Dahlan berkata, pengenalan dua inisiatif itu mencerminkan komitmen JPA dalam memperkukuh ekosistem kebajikan pesara melalui pendekatan inovatif, inklusif dan berteraskan teknologi.
“JPA bukan sekadar menguruskan persaraan dan pembayaran pencen, malah komited memastikan pesara terus menikmati kehidupan selepas persaraan dengan lebih sejahtera melalui perkhidmatan yang lebih mudah diakses, selamat dan memberi nilai tambah,” katanya.
Beliau berkata, JPA akan terus memperluas kerjasama strategik dengan kementerian, agensi dan rakan industri supaya lebih banyak manfaat dapat dinikmati pesara pada masa hadapan.
“Menghargai jasa pegawai awam tidak berakhir pada hari mereka bersara. Sebaliknya, ia diteruskan melalui usaha berterusan kerajaan untuk memastikan mereka menikmati perkhidmatan berkualiti dan manfaat yang relevan dengan keperluan kehidupan selepas persaraan,” katanya. – BERNAMA

