Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Projek Adong Kechil West (AKW) oleh Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan memasuki fasa pembangunan kemudahan pengeluaran dan infrastruktur gas bagi membekalkan tenaga kepada loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) Miri yang disasarkan beroperasi menjelang akhir 2027.

Langkah itu susulan kejayaan Petros bersama Petra Energy Bhd memulakan pengeluaran minyak pertama menerusi sistem pengeluaran awal (EPS) projek AKW di Blok SK433.

Petros dalam kenyataannya berkata, pembangunan AKW yang memanfaatkan potensi sumber petroleum darat Sarawak dijangka membantu memperkukuh daya tahan bekalan tenaga untuk keperluan masa depan Miri serta menyokong keselamatan tenaga jangka panjang negeri itu.

Menurut Petros, kejayaan berkenaan hasil daripada aktiviti penggerudian telaga penilaian dan pembangunan projek AKW yang dilaksanakan pada 2023, selain mencerminkan keupayaan Sarawak menghidupkan semula serta membangunkan sumber petroleum darat walaupun berdepan cabaran teknikal yang kompleks.

“Sebagai satu pendekatan pembangunan secara berperingkat, EPS membolehkan pengeluaran dimulakan lebih awal sambil membekalkan data dan maklumat penting mengenai keadaan takungan serta operasi yang kritikal bagi menambah baik pembangunan medan minyak pada masa hadapan.

“Data ini akan menyokong pembangunan bersepadu bagi penemuan di kawasan sekitar sebagai kluster AKW, sekali gus memaksimumkan potensi sumber dan mengekalkan bekalan gas jangka panjang,” katanya.

Petros berkata, projek AKW dijangka mampu menghasilkan sehingga kira-kira 800 tong minyak sehari, selain menyediakan asas penting bagi pembangunan sumber hidrokarbon secara lebih menyeluruh di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak Petros, Datuk Abang Arabi Abang Narudin, berkata pencapaian itu bukan sekadar kejayaan pelaksanaan projek, tetapi turut menggambarkan kekuatan kerjasama antara pihak yang terbabit.

“Kami bukan sahaja meraikan kejayaan dalam melaksanakan projek ini, tetapi juga menghargai kekuatan kerjasama antara pihak-pihak yang menjayakannya.

“Sebagai pengurus sumber Sarawak untuk operasi petroleum di darat, Petros kekal komited memastikan penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon negeri dijalankan secara bertanggungjawab melalui kerjasama strategik serta kecemerlangan operasi.

“Ia seterusnya mencipta nilai jangka panjang untuk Sarawak dan rakyatnya,” katanya.

Petros berkata, pembangunan AKW secara berperingkat akan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem tenaga negeri, di samping menyokong keperluan bekalan gas bagi sektor industri dan utiliti pada masa hadapan. -BH Online