Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek mitigasi banjir di kawasan Petaling Jaya dan Damansara yang membabitkan kelulusan peruntukan berjumlah RM44.5 juta dapat berjalan lancar, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan yang diluluskan itu membabitkan komitmen bersama antara kerajaan pusat dan negeri.

“Ada beberapa keputusan penting yang orang PJ (Petaling Jaya) harus tahu.

‘I grew up here’ (saya membesar di sini). Saya tahu semua lorong-lorong kecil di sini. Sekarang, tak ada yang terkecuali, kerana PJ ni pun kadang-kadang banjir. Damansara pun ada banjir.

“Jadi, dalam Belanjawan tahun lalu, sejak dua tahun lalu, kita mula bincang dan kita sudah pakat, setengah peruntukan Kerajaan Persekutuan, setengah lagi negeri. Kerajaan Negeri Selangor suddah luluskan lebih 30 skop kerja mitigasi banjir.

“Ini adalah isu banjir di sekitar Petaling Jaya, Damansara. Kepada MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), saya ucap terima kasih. Semua jabatan di Selangor dan Kerajaan Persekutuan, kita sudah lulus RM44.5 juta untuk mitigasi banjir dan dalam pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 anak muda pada Program Generasi Muda Suara Baharu di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, hari ini. 

Turut sama hadir, Menteri Komunikasi yang juga Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua AMK PKR, Kamil Munim.

Semalam, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, daripada 12 kawasan banjir itu, tiga lokasi kritikal diberi tumpuan utama untuk pelaksanaan projek mitigasi banjir, iaitu di Seksyen 51A (Jalan 223), Kampung Cempaka dan Jalan PJU 1A (Terowong FAS).

Pada 18 Julai lalu, media melaporkan hujan lebat menyebabkan Medan Selera 223 di Seksyen 51A dan beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, dilanda banjir kilat berulang selepas kejadian sama berlaku pada 20 April dan 6 Mei lalu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan tidak pernah memotong perbelanjaan untuk rakyat, sebaliknya akan terus diperkasa agihannya ke seluruh kawasan Parlimen bagi memastikan rakyat memperoleh manfaat sewajarnya.

Beliau berkata, kerajaan tidak cenderung untuk menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen kerana kemudiannya tidak dibelanjakan untuk menyelesaikan pelbagai isu setempat di kawasan.

“Saya tidak potong peruntukan kepada rakyat, untuk masjid, untuk kuil, untuk parit, untuk semua.. on. Untuk sekolah..on (diteruskan). Yang kita tak bagi ialah melalui Ahli Parlimen. 

“Yang penting itu apa, rakyat nak projek ataupun Ahli Parlimen nak projek? rakyat yang nak projek. Yang penting, wang (peruntukan) itu bukan kita simpan. Apa yang kita janji belanja, masuk (disalurkan) kalau ada keperluan. 

“Hospital ke, kemudahan kecil, pejabat polis ke, yang mana yang dia perlu (dibantu), minta melalui saluran kita, dan kita akan bagikan. Ini jaminan kita,” katanya. -BH Online