KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri mengisytiharkan Isnin sebagai Hari Cuti Peristiwa Negeri Johor sebagai penghargaan kepada rakyat yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengisytiharan itu dibuat atas limpah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
“Pengisytiharan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor yang telah menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Johor Ke-16,” katanya dalam hantaran di akaun di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas limpah perkenan terhadap pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor.
Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas kepercayaan yang diberikan untuk terus memikul amanah menerajui pentadbiran negeri.
Onn Hafiz berkata, beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat Johor.
“Saya memohon doa agar Allah SWT terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan kami. Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti.
“Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya. Insya-Allah,” tambahnya.
Petang tadi, Onn Hafiz mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar di hadapan Tunku Mahkota Ismail, di Istana Bukit Serene.
Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor berkenaan menyusul selepas kemenangan besar direkodkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, semalam. -Astro Awani
