Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING : Kerajaan memantau rapi perkembangan di Selat Hormuz susulan ketegangan yang kembali memuncak di Asia Barat kerana ia berpotensi menjejaskan aliran perdagangan dunia, sekali gus memberi kesan terhadap ekonomi global dan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata keadaan di laluan perkapalan strategik itu masih belum menunjukkan kepastian walaupun perjanjian damai dicapai sebelum ini berikutan serangan yang masih berlaku.

“Keadaan belum ada kepastian dan merunsingkan kita walaupun sudah ada perjanjian damai, tetapi serangan masih berlaku,” katanya selepas Majlis Penutupan Regata Sejijak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai trafik harian keseluruhan di Selat Hormuz yang semakin perlahan susulan konflik di rantau berkenaan.

Fadillah berkata, setiap insiden serangan yang berlaku pasti menjejaskan aliran kapal yang membawa pelbagai barangan keperluan utama ke seluruh dunia, termasuk bekalan tenaga dan bahan mentah penting.

“Apabila serangan berlaku, ia akan menjejaskan aliran perkapalan yang mengangkut barangan keutamaan diperlukan setiap rantau. 

“Bukan saja minyak dan gas, tetapi juga komoditi asas lain termasuk baja, bahan kimia dan keperluan bagi keseluruhan rantaian bekalan dunia,” katanya.

Fadillah berkata, gangguan terhadap rantaian bekalan itu dijangka meningkatkan kos pengeluaran produk hiliran yang digunakan dalam pelbagai sektor termasuk perubatan, perkhidmatan dan pembuatan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Malaysia berharap semua negara yang terbabit dapat menghormati segala persetujuan dicapai serta kembali ke meja rundingan bagi mencari penyelesaian secara damai demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan sejagat.

“Setakat ini, Malaysia berada dalam keadaan yang baik. Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) juga sudah mengadakan rundingan pelbagai peringkat dan Insya-Allah, bekalan tenaga negara ketika ini terjamin,” katanya.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, walaupun bekalan tenaga negara masih mencukupi, turun naik harga minyak dan gas di pasaran dunia kekal menjadi cabaran besar kerana ia boleh memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara.

“Walaupun kita mempunyai pelbagai program subsidi dan bantuan kepada rakyat, peningkatan harga pasaran pasti memberi tekanan kepada kewangan negara. 

“Sebab itu kerajaan perlu merancang teliti bagi memastikan kemampanan kewangan negara terus terpelihara, selain memastikan kebajikan dan bantuan kepada rakyat kekal jadi keutamaan,” katanya.-BH Online