Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Bidang Kuasa Admiralti 2026 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi penelitian lanjut.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said selepas bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 digubal bagi mewujudkan kerangka perundangan domestik yang komprehensif untuk mengawal selia tuntutan dan pertikaian maritim, termasuk berkaitan pemilikan kapal, kontrak perkapalan, pengangkutan barang melalui laut, pelanggaran kapal, salvaj, gadaian maritim serta penahanan kapal. 

Penggubalan undang-undang juga dijangka meningkatkan kepastian undang-undang dan keyakinan pelabur terhadap industri perkapalan negara.

“Saya ingin mengemukakan usul untuk merujuk undang-undang ini ke Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut peraturan mesyuarat 54(1) dan 81(1).

“Saya mohon mencadang bahawa berdasarkan peraturan mesyuarat 51(1) dan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah 81(1) bagi menyerahkan RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026 pada Jawatankuasa Pilihan yang dinamakan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Rang Undang-Undang Bidang Kuasa Admiralti 2026. 

“Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan meneliti undang-undang berkenaan, termasuk skop, struktur, cara pengubalan RUU berkenaan dengan mencadangkan apa-apa pindaan yang difikirkan perlu berhubung perkara terbabit.

“Selain itu, menyediakan satu penyata yang mengandungi pandangan serta membuat syor keatas RUU terbabit atau mencadangkan satu RUU dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas berkenaan boleh, jika perlu, melanjutkan tempoh terbabit.

“Jawantakuasa Pilihan Khas berkenaan hendaklah terdiri daripada 12 ahli Dewan Rakyat, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). 

“Bagi tujuan berkenaan, Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti ahli parlimen, pakar perundangan, badan professional, persatuan industri, badan bukan kerajaan (NGO), wakil masyarakat sivil, dan mana-mana individu lain yang difikirkan sesuai untuk hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas dari semasa ke semasa,” katanya. -BH Online