JASIN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.911 juta bagi menaik taraf jalan dan kemudahan awam di Sungai Rambai dari 2021 hingga 2026.null
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata ia membabitkan RM1.001 juta bagi 11 projek di bawah Program Ameniti Sosial (PAMS) untuk menaik taraf kemudahan awam yang menterjemah hasrat kerajaan dalam membentuk persekitaran desa lebih kondusif dan berdaya huni.
“KKDW juga berjaya merealisasikan 13 projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) di sekitar Sungai Rambai melibatkan peruntukan RM910,000 untuk memperluas jaringan kesalinghubungan, melancarkan urusan harian penduduk dan merancakkan kitaran ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya.
Rubiah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Festival D’Bendang Melaka yang turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis.
Dalam pada itu, Rubiah berkata Festival D’Bendang Melaka akan terus diperkasakan sebagai produk agropelancongan perdana yang bukan sahaja mempromosikan keunikan landskap sawah padi dan warisan budaya desa, malah berupaya menjana limpahan ekonomi berterusan kepada komuniti luar bandar.
Beliau berkata festival yang memasuki edisi keempat itu telah berkembang sebagai platform holistik yang menggabungkan pembangunan ekonomi desa, pelancongan, seni budaya dan penglibatan komuniti, sekali gus berpotensi sebagai antara produk agropelancongan utama negara.
Festival itu juga memberi limpahan ekonomi menerusi pembangunan sektor inap desa dan pelancongan desa selain menghidupkan semula warisan budaya serta mengukuhkan perpaduan komuniti melalui pelbagai aktiviti tradisional.
“Penganjuran festival ini turut memperkasakan ekonomi setempat menerusi penyertaan lebih 60 usahawan tempatan yang memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS), kraf tangan serta hasil pertanian.
“Festival D’Bendang juga selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan diyakini mampu mengukuhkan lagi kedudukan Melaka sebagai destinasi agropelancongan yang menarik pelancong domestik serta antarabangsa,” katanya.– BERNAMA

