Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Fasa pembangunan pasaran modal Malaysia seterusnya perlu memberi tumpuan bukan saja kepada saiz pasaran, tetapi juga kepada peningkatan kualiti syarikat, tadbir urus dan keupayaan mencipta nilai jangka panjang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata menerusi agenda MY Value Up, syarikat tempatan digalakkan untuk beralih daripada budaya pematuhan semata-mata kepada budaya penciptaan nilai aktif yang memberi penekanan kepada strategi pertumbuhan mampan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelabur masa kini bukan lagi hanya menilai prestasi keuntungan syarikat, sebaliknya turut memberi perhatian kepada tahap tadbir urus, keberkesanan peruntukan modal serta kejelasan hala tuju perniagaan.

Katanya, keuntungan sememangnya penting, namun dalam pasaran hari ini syarikat perlu membuktikan bahawa mereka boleh dipercayai, mampan dan bertanggungjawab.

“Oleh itu, bagi memperkukuhkan agenda MY Value Up, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terbesar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan memperuntukkan sebahagian daripada modal mereka untuk menyokong syarikat yang menunjukkan komitmen yang kukuh terhadap penciptaan nilai dan penerapan prinsip MY Value Up,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan Invest Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Pada persidangan yang dianjurkan Bursa Malaysia Bhd dengan kerjasama CIMB Group Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd (Maybank) itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Buku Panduan MY Value Up.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, peruntukan sebahagian itu dijangka menjadi isyarat penting kepada pasaran bahawa syarikat yang memperkukuh amalan tadbir urus, meningkatkan disiplin pengurusan modal serta mengamalkan tahap ketelusan lebih tinggi akan diberi pengiktirafan bukan saja oleh pelabur pasaran, malah oleh pelabur institusi terbesar negara.

Menurutnya, inisiatif berkenaan bertujuan membentuk pasaran modal Malaysia yang bukan sekadar lebih besar, tetapi lebih berkualiti dengan memberi ganjaran kepada syarikat yang mengamalkan pengurusan berdisiplin, bertanggungjawab dan berpandangan jauh.

Katanya, ia juga dilihat mampu membantu syarikat tempatan meningkatkan daya saing di peringkat serantau dan global menerusi struktur korporat yang lebih kukuh serta strategi pertumbuhan yang lebih jelas.

Selain memberi kesan kepada pasaran saham, beliau berkata, agenda MY Value Up turut dikaitkan dengan matlamat ekonomi lebih luas, iaitu memastikan modal yang masuk ke negara ini mampu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat dengan antaranya mewujudkan pekerjaan, membuka peluang dan meningkatkan kehidupan.

“Saya mahu pertumbuhan menjangkau perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), usahawan, belia, komuniti luar bandar dan pusat pertumbuhan serantau kita. 

“Pasaran modal yang kukuh bukan saja mesti menyokong syarikat besar, tetapi juga ekosistem perusahaan, inovasi dan peluang yang lebih luas,” katanya.-BH Online