Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ketiga-tiga Kapal Misi Pesisir `Batch 2′ (LMSB2) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka ditauliahkan sepenuhnya menjelang hujung tahun 2027.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembinaan kapal-kapal berkenaan di Turkiye, kini berjalan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan sejak kontrak ditandatangani pada 2024.

“Kita menjangkakan kapal-kapal ini akan diserahkan kepada tentera laut kita pada hujung tahun 2027. Jika mengikut anggaran masa, kapal pertama akan ditauliahkan pada Oktober, diikuti kapal kedua pada November dan kapal ketiga pada Disember. Semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) MINDEF dan ATM 2026 di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kapal kedua daripada siri Batch 2 itu, telah selamat dilancarkan di Istanbul Shipyard, Turkiye pada Ahad.

“Kapal berkenaan telah diberi nama ‘Raja Laut’, mengambil sempena nama tokoh bangsawan dan pentadbir berwawasan Selangor pada akhir abad ke-19. 

“Majlis penamaan dan pelancarannya telah disempurnakan dengan keberangkatan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin,” katanya.

Mohamed Khaled berkata pelancaran itu menyusul selepas kejayaan pelancaran kapal pertama “Tunku Laksamana Abdul Jalil” pada 24 Mei.

Beliau berkata program LMSB2 merupakan projek kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) iaitu antara Malaysia dan Turkiye, bagi memperkukuh kedaulatan maritim negara.

Sementara itu, mengulas mengenai tuntutan RM1 bilion ke atas sebuah syarikat pertahanan dari Norway, Mohamed Khaled berkata pihaknya telah menerima permohonan daripada syarikat berkenaan untuk mengadakan perbincangan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kementerian akan tetap meneruskan proses tuntutan tersebut mengikut prosedur sedia ada.

“Kita memang ada terima permintaan (surat) daripada syarikat untuk berbincang. Setakat ini kita belum berjumpa dan kita tidak tahu apa yang mereka mahu bincangkan. Namun, apa-apa pun, tuntutan kita masih berjalan,” katanya.

Norway sebelum ini membatalkan lesen eksport bagi peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.

Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.– BERNAMA