Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan penambahbaikan dalam aspek kemajuan kerjaya pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pengiktirafan terhadap amanah dan tanggungjawab besar digalas dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kesepakatan itu dicapai ketika beliau mempengerusikan pertemuan khas bersama kepimpinan tertinggi ATM.

“Ia selaras dengan keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara dalam mendepani landskap keselamatan dan geostrategik dunia yang semakin kompleks dan mencabar.

“Pertemuan ini turut memberi ruang untuk kami meneliti tahap kesiapsiagaan setiap ketumbukan (pasukan), selain keperluan perolehan dan penyelenggaraan aset pertahanan bagi memastikan keupayaan operasi ATM sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya hari ini.

Anwar berkata, beliau menghargai pandangan maklum balas daripada kepimpinan ATM kerana setiap dasar dan keputusan kerajaan harus berpaksikan keperluan sebenar di lapangan, bukan sekadar pertimbangan di atas kertas.

Katanya, kerajaan akan terus memberikan perhatian sewajarnya terhadap keperluan dan kebajikan warga ATM.

“Sesungguhnya, mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air bukan sekadar tanggungjawab pasukan keselamatan tetapi amanah besar yang mesti kita junjung bersama,” katanya. -BH Online