Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA KEDAH: Operator feri digalakkan menambah kekerapan jadual perjalanan ke Langkawi sebaik terminal baharu yang mampu menampung sehingga 3,000 penumpang siap September tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ketika ini kerja pembinaan Terminal Feri Kuala Kedah membabitkan kos RM245 juta mencapai lebih 50 peratus selepas ia dimulakan pada 2024.

Katanya, syarikat yang berminat menyediakan perkhidmatan feri ke Langkawi juga digalak membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan kerana ia mampu menambah jumlah perjalanan feri.

“Bagaimanapun, penambahan trip bergantung pada operator dan kita galakkan operator tambah trip atau mana-mana operator baharu boleh sediakan perkhidmatan ini.

“Kita tahu isunya adalah kekurangan trip yang disebabkan banyak faktor antaranya kos operasi, penumpang dan masa kerana di Kuala Kedah yang menjadi isu adalah mendapan di kuala Sungai Kedah

“Kita perlu buat penggerukan berkala dan apabila terminal baharu siap, sudah tentu kita berharap operasi feri dapat ditingkatkan dan kekerapan perjalanan ditambah,” katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di sini, hari ini.

Loke berkata, bagi mengatasi masalah mendapan di kuala Sungai Kedah, pihaknya terpaksa melakukan kerja penggerukan secara berkala setiap dua tahun bagi memastikan feri dapat berlayar mengikut alir.

Katanya, kerajaan juga tidak dapat memindahkan Terminal Feri Kuala Kedah ke lokasi lain, berikutan tapak sedia ada adalah lokasi asal dan jika dipindahkan, ia akan membabitkan kos lebih besar.

“Ada kekangan dari segi fizikal kerana lokasi sekarang adalah lokasi asal terminal dan jika kita hendak alihkan ke tengah laut kos terlalu tinggi, kita kena buat tambakan laut dan sebagainya.

“Kita cuba cari penyelesaian jangka panjang bagaimana menyelesaikan isu mendapan melalui kerja penggerukan berkala setiap dua tahun untuk memastikan mendapan tidak mengganggu operasi feri,” katanya.

Terdahulu Loke, turut menghadiri Majlis Pengiktirafan Kompetensi Maritim dan Pemerkasaan Syarikat Tempatan di bawah Program Kolaborasi Industri bagi Projek Meroboh, Membina dan Menaik Taraf Terminal Penumpang, Kargo dan RORO di Terminal Jeti Penumpang Kuala Kedah.

Beliau berkata, projek itu selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan pengangkutan, penggunaan infrastruktur secara optimum dan peningkatan daya saing negara.

“Projek ini adalah pelaburan strategik kerajaan dalam memperkukuh jaringan perhubungan maritim serta merancakkan aktiviti ekonomi di wilayah utara Semenanjung khususnya di Kedah.

“Terminal ini dirancang bagi membolehkan tiga feri penumpang berkapasiti besar berlabuh pada satu-satu masa, sekali gus meningkatkan kelancaran pergerakan penumpang dan barangan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Pada majlis sama, seramai 65 nelayan, pengendali bot kecil dan penyelia bot pelancongan berjaya memperoleh Sijil Jurumudi Mate Domestic (Open) di bawah kendalian Technology Depository Agency Berhad (TDA) dengan kerjasama Sunissa Sdn Bhd.

Ini bagi membolehkan peserta terbabit yang juga komuniti tempatan menambah peluang pendapatan melalui pekerjaan mengendalikan vesel secara sah bagi pelayaran domestik. -BH Online