KUALA LUMPUR: Sebanyak 697 unit retatrutide atau ubat penurunan berat badan yang masih dalam peringkat kajian dan belum berdaftar di Malaysia, dirampas Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi 12 operasi serbuan dari 2025 hingga September lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan RM341,000.
“Ia (retatrutide) masih belum ada (disenaraikan) dalam formulari KKM,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta penjelasan mengenai isu produk GLP-1 yang mendapat perhatian susulan promosi meluas oleh pempengaruh di TikTok, selain penjualannya secara dalam talian tanpa kawalan.
Dr Zaliha turut meminta penjelasan mengenai jumlah tangkapan yang dibuat serta strategi lebih tegas yang boleh dilaksanakan KKM bagi menangani kegiatan berkenaan.
Selain retatrutide, Dzulkefly berkata, KKM turut melaksanakan tujuh operasi serbuan terhadap penjualan Ozempic atau semaglutide tanpa kebenaran, dengan 62 unit bernilai RM64,170 dirampas.
Beliau berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di bawah Program Perkhidmatan Farmasi turut melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan menerusi penurunan iklan daripada platform dalam talian, siasatan aduan serta serbuan terhadap penjualan ubat tidak berdaftar.
“KKM akan terus mempergiat pemantauan terhadap penyalahgunaan platform e-dagang dan platform dalam talian bagi memastikan keselamatan, keberkesanan ubat serta nyawa rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.
Beliau berkata, seiring peningkatan permintaan, pelbagai kaedah penjualan ubat berkenaan dikesan, termasuk menerusi platform dalam talian.
“Dari sudut keselamatan dan keberkesanan, perkara itu perlu diberikan perhatian, khususnya oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM bagi memastikan ubat berkenaan tidak disalahgunakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan KKM memaklumkan retatrutide adalah ubat dalam penyiasatan yang masih menjalani ujian klinikal Fasa 3 dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana badan pengawal selia di seluruh dunia. -BH Online
