ALOR SETAR: Bukit Aman akan mengadakan pertemuan bersama pihak berkuasa Pakistan bagi membincangkan tindakan susulan penahanan 130 rakyat Malaysia yang terbabit dalam sindiket jenayah siber di negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan itu dibuat selepas beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya di Pakistan berhubung penahanan itu kira-kira dua minggu lalu.
“Saya sudah meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan jabatan berkaitan di Pakistan bagi membincangkan bagaimana kita nak uruskan isu ini.
“Perbincangan sudah berjalan dan saya akan menerima laporan mengenainya sebelum menentukan hala tuju tindakan seterusnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Dewan Insaniah, Kompleks LZNK, Mergong, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Saifuddin berkata, operasi polis di Kulim Hi-Tech Park sebelum ini turut berjaya menahan 33 warga Pakistan serta beberapa warga India yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Katanya, warga Pakistan yang ditahan dalam operasi itu sudah didakwa di mahkamah.
Kelmarin, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan 130 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Pakistan di Rawalpindi, baru-baru ini, berhubung pembabitan mereka dalam sindiket jenayah siber.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa negara berkenaan melalui Kementerian Luar bagi mendapatkan butiran lengkap mengenai penahanan kesemua individu itu. -BH Online

